
KUALA LUMPUR 12 Dis – Lianson Fleet Group Berhad (LFG) memperoleh kelulusan pemegang saham bagi beberapa pengambilalihan strategik dan urusan korporat penting yang akan mengukuhkan kedudukannya dalam sektor maritim serantau.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, LFG berkata, kelulusan itu diperoleh selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) LFG yang diadakan di sini hari ini.
“Antara resolusi yang diluluskan termasuk pengambilalihan Yinson Port Ventures Pte Ltd (YPVPL) dengan harga RM15.8 juta yang akan dipenuhi melalui penerbitan 18 juta saham biasa baharu.
“Turut diluluskan ialah resolusi pengambilalihan Yinson Premier Limited (YPL) dengan harga RM6.4 juta melalui penerbitan 7.3 juta saham biasa baharu.
“EGM juga meluluskan bonus sehingga 123.7 juta Warrant B, penubuhan skim saham pekerja (ESS) sehingga 10 peratus daripada jumlah keseluruhan saham LFG, peruntukan ESS kepada Pengerusi Eksekutif, mandat pemegang saham baharu bagi urus niaga berkaitan berulang, serta kuasa pembelian balik saham,” katanya dalam makluman tersebut.
Dengan kelulusan ini, LFG akan meneruskan pengambilalihan YPVPL dan YPL, menandakan kemasukannya secara rasmi ke dalam operasi pelabuhan dan gudang di Vietnam.
Projek pengambilalihan ini dijangka selesai menjelang Januari 2026.
Selain itu, LFG mengumumkan penyempurnaan penjualan kapal penginapan kerja (AWB) Kayra dengan nilai tunai RM92.6 juta, sebagai sebahagian daripada strategi Kumpulan untuk membuka nilai aset dan memperkukuh aliran tunai.
Pengerusi Eksekutif LFG, Lim Chern Wooi berkata, pengambilalihan pelabuhan dan gudang di Vietnam akan memperkukuh kedudukan LFG sebagai pemain maritim dan logistik serantau serta mewujudkan aliran pendapatan baharu bagi Kumpulan.
“Bonus warrant dan penubuhan ESS memberi peluang kepada kami untuk menghargai pemegang saham dan pekerja selaras dengan visi strategik jangka panjang LFG,” katanya.
LFG, yang sebelum ini dikenali sebagai Icon Offshore Berhad memiliki pengalaman operasi lebih 30 tahun dalam sektor maritim.
Kumpulan mengendalikan armada kapal sokongan luar pesisir (OSV) yang pesat berkembang dan canggih di Asia Tenggara, termasuk kapal tunda & bekalan pengendalian sauh (AHTS), kapal penginapan kerja (AWB) dan kapal sokongan platform (PSV).
Selain itu, LFG telah mempelbagaikan operasi ke dalam pengangkutan dan logistik marin dengan armada tunda, tongkang dan kapal pukal, membolehkan Kumpulan menyediakan perkhidmatan untuk pasaran tenaga dan komoditi.
Pada masa ini, LFG memiliki dan mengendalikan 20 OSV serta 39 aset pengangkutan marin lain, memperkukuh transformasi Kumpulan menjadi pemain marin serantau yang berasaskan pelbagai sektor. - DagangNews.com

