Ejen insurans didakwa rompak lelaki sehingga cedera

21 May 2024 • 3:52 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Seorang ejen insurans mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki, dua bulan lepas.

Mohammad Hasbullah Mustafa Kamal, 33, didakwa melakukan rompakan dan dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Lim Mun Hon, 27, di hadapan sebuah restoran di Manjalara, Kepong, di sini pada 1 tengah hari, 23 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh menawarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Peguam Azlin Zulkifli yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya mempunyai tanggungan iaitu isteri tidak bekerja serta dua anak yang masih kecil.

Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan Mohammad Hasbullah diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 25 Jun ini untuk sebutan semula kes.