IPOH – Seramai lebih 7,000 nelayan di Perak kini menerima manfaat langsung daripada Ekonomi Biru yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi memperkukuh sektor perikanan serta menjamin kelestarian sumber marin.
Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad berkata, sehingga kini kerajaan negeri telah menyalurkan pelaburan sebanyak RM3.78 juta bagi memperkukuh infrastruktur pendaratan sekali gus meningkatkan kecekapan rantaian bekalan hasil laut.
Menurutnya, pendekatan Ekonomi Biru di negeri ini bukan hanya tertumpu kepada perikanan dan akuakultur semata-mata sebaliknya merangkumi aspek lebih luas termasuk pelancongan, industri maritim, tenaga lestari serta pemeliharaan ekosistem marin dan pesisir.
"Namun yang lebih penting, pendekatan ini mesti memberi manfaat kepada mereka yang bergantung terus kepada laut, khususnya nelayan kecil.
"Sebab itu kerajaan negeri bukan sekadar memperkenalkan teknologi, tetapi memastikan ia sampai kepada golongan sasaran melalui latihan, pemindahan pengetahuan dan sokongan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Perak sempena Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kawasan ternakan kerang di negeri ini turut diperluaskan kepada hampir 3,000 hektar dengan jumlah pendaratan mencecah 15,970 metrik tan pada 2025 yang memberi pulangan ekonomi kepada peserta tempatan.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, kekuatan utama Ekonomi Biru terletak pada pemeliharaan ekosistem semula jadi yang menjadi asas kepada kelangsungan sumber marin.
**media[3498858]**
Menurutnya, kawasan seperti Hutan Simpan Paya Laut Matang dan Kuala Gula bukan sahaja melindungi biodiversiti, malah berperanan sebagai tapak pembiakan semula jadi selain berpotensi dalam pembangunan eko-pelancongan dan karbon biru.
"Berhubung isu tukun tiruan, kerajaan negeri bersetuju ia tidak boleh sekadar menjadi projek kosmetik.
"Sebanyak 99 unit tukun tiruan telah dilabuhkan dengan pelaburan RM1.1 juta dan ia dipantau setiap enam bulan bagi menilai keberkesanannya dari sudut ekologi dan hasil tangkapan," jelasnya.
Tambah beliau, usaha pemuliharaan turut dilaksanakan secara berterusan termasuk restorasi 400 fragmen karang di Kepulauan Sembilan serta pelepasan 175 induk gamat emas di Pulau Pangkor.
Katanya, langkah itu disokong dengan kawalan seperti zon larangan memukat bagi memastikan keberkesanan jangka panjang selain menjamin kelestarian sumber laut untuk generasi akan datang.




