Pelaburan di Perak kekal berdaya tahan

LocalBusiness & Finance
15 Apr 2026 • 3:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelaburan di Perak kekal berdaya tahan
Saarani menjelaskan pelaburan di negeri Perak kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global susulan krisis tenaga yang melanda dunia ketika ini.
Image from: Pelaburan di Perak kekal berdaya tahan

IPOH - Senario pelaburan di Perak kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global susulan krisis tenaga yang melanda dunia ketika ini.

Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad berkata, berdasarkan pemantauan semasa, impak terhadap pelaburan asing di negeri itu masih berada pada tahap minimum dan terkawal.

Menurutnya, tiada pelaburan utama yang dibatalkan setakat ini, manakala projek-projek sedia ada terus berjalan seperti yang dirancang.

"Saya perlu melaporkan bahawa berdasarkan pemantauan semasa, senario pelaburan asing di Malaysia amnya dan negeri Perak khususnya masih kekal berdaya tahan.

"Malah dari sudut peluang, Malaysia termasuk negeri Perak ini berpotensi untuk mendapat manfaat daripada fenomena peralihan rantaian bekalan apabila syarikat antarabangsa mencari destinasi pelaburan alternatif yang lebih stabil di rantau Asia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nga Kor Ming (PH-Kepayang) sempena Mesyuarat Pertama Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Menurut Saarani, perkembangan itu turut disokong oleh laporan institusi kewangan antarabangsa yang melihat Malaysia sebagai antara ekonomi yang berdaya tahan dalam mendepani tekanan semasa.

Katanya, JPMorgan Chase dalam laporan bertarikh 27 Mac 2024 menyenaraikan Malaysia sebagai antara negara yang masih mampu mengharungi krisis tenaga global dengan baik.

**media[3492308]**

Selain itu, Kumpulan Bank Dunia turut mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar 4.3 peratus bagi tahun 2024, didorong oleh permintaan domestik yang kekal kukuh.

Bagaimanapun, Saarani menegaskan kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan sebarang risiko dapat ditangani dengan berkesan.

Katanya, kerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan serta agensi berkaitan akan diperkukuh bagi memastikan aliran pelaburan terus mampan.

“Kita akan pastikan segala maklumat dan perkembangan semasa diselaraskan supaya tindakan yang diambil tepat dan berkesan dalam menarik serta mengekalkan pelaburan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Saarani turut mengajak semua pihak termasuk pembangkang untuk duduk bersama bagi membolehkan kerajaan negeri memantau perkembangan semasa.

Katanya, kerajaan negeri akan bekerja rapat dengan kerajaan persekutuan untuk merangka strategi adaptasi bagi meminimumkan impak krisis ini kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.