Ekonomi gig sumbang kepada penurunan kadar pengangguran belia – Maybank IB
diyana
11/07/2023 - 15:38
KUALA LUMPUR 11 Julai - Kebangkitan ekonomi gig menyumbang kepada penurunan kadar pengangguran belia kerana terdapat peningkatan yang berterusan dalam penduduk bekerja sendiri, kata Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB).
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mentakrifkan penduduk bekerja sendiri sebagai kebanyakannya mereka yang berpendapatan harian, bekerja sebagai perniagaan kecil seperti peruncit kecil, penjaja, penjual di pasar dan gerai, serta pekebun kecil.
Firma penyelidikan itu berkata pertumbuhan pekerjaan tidak formal dalam tempoh lima bulan pertama 2023 (5M2023) meningkat 7.7% dan 9.7% pada 2022, mengatasi jumlah pertumbuhan guna tenaga sebanyak 2.7% pada 5M2022 dan 3.5% pada keseluruhan 2022.
Walaupun kadar pengangguran belia telah menyederhana selama tujuh bulan berturut-turut kepada 11.0% pada Mei 2023, Maybank IB menekankan bahawa ia masih di atas paras rendah sebelum pandemik 9.9% pada Disember 2020.
Dalam laporan DOSM semalam, ia menyatakan bahawa kadar pengangguran terus menurun, di mana penduduk bekerja sendiri mencatatkan trend yang meningkat dengan penambahan 20,000 orang sebanyak 0.5% kepada 2.94 juta orang pada Mei 2023 daripada 2.92 juta orang dalam April 2023.
Malahan, kumpulan ini telah mencatat kenaikan 7% tahun ke tahun, merangkumi 18% daripada penduduk bekerja.
Menurut DOSM, kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun menurun kepada 11% dengan jumlah seramai 313,000 orang.
Manakala, kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun meningkat kepada 7% dengan 448,600 orang. - DagangNews.com


![[VIDEO] Kadar pengangguran diunjur kekal pada paras 3.5% dan menyusut kepada 3.4% pada 2024 - Kenanga Research](https://cdn.newswav.com/img/topic/business-and-finance.jpeg)

