
Pernah suatu ketika dahulu, politik adalah tentang memenangi hati rakyat.
Namun hari ini, terlalu kerap politik berubah menjadi usaha untuk menguasai pemikiran.
Siasatan penyamaran yang dijalankan oleh The Fourth telah mendedahkan sesuatu yang telah lama disyaki ramai rakyat Malaysia, tetapi sukar dibuktikan: kemarahan kini menjadi satu industri. Kebencian telah menjadi satu produk. Dan perpecahan dalam masyarakat telah bertukar menjadi model perniagaan yang menguntungkan pihak tertentu.
Perkara ini sepatutnya membimbangkan setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira fahaman politik, kaum mahupun agama.
Hal ini bukan lagi soal siapa menyokong ahli politik tertentu. Sebaliknya, persoalannya ialah sama ada kita sedang membiarkan demokrasi kita digantikan secara senyap dengan satu sistem yang meraih keuntungan daripada kemarahan rakyat sesama sendiri.
Siasatan tersebut melakar gambaran yang membimbangkan. Terdapat dakwaan mengenai agensi yang menawarkan kempen berasaskan ketegangan kaum dan sensitiviti agama. Wujud juga golongan pempengaruh yang sanggup menjual naratif kepada sesiapa sahaja yang menawarkan bayaran tertinggi. Di samping itu, rangkaian akaun tanpa identiti dikatakan digunakan untuk mencipta ilusi kononnya sesuatu pandangan mendapat sokongan meluas, manakala algoritma media sosial pula mengangkat suara yang paling lantang, bukannya yang paling bijaksana.
Jika semua ini benar, ia bukan lagi kempen politik.
Ia adalah satu bentuk kejuruteraan sosial.
Lebih membimbangkan, kebencian itu sendiri bukanlah matlamat utama.
Matlamat sebenar ialah keuntungan.
Pengaruh politik.
Dan kuasa.
Kebencian hanyalah alat untuk mencapai tujuan tersebut.
Keadaan ini memaksa kita mengajukan satu persoalan yang sukar.
Bilakah kita menjadi begitu mudah dimanipulasi?
Malaysia tidak pernah dibina atas asas keseragaman. Negara ini merupakan antara eksperimen sosial paling unik di dunia; sebuah negara yang dihuni oleh pelbagai kaum, agama, budaya dan bahasa, namun memilih untuk hidup bersama secara aman, bukan berkonflik. Bukan sekadar hidup bersama, malah berkembang dan berjaya bersama.
Sememangnya kita pernah berbeza pendapat dan melakukan kesilapan. Namun, kejayaan terbesar negara sentiasa hadir apabila kita mengingati bahawa kepelbagaian merupakan kekuatan dan kelebihan daya saing kita, bukannya kelemahan terbesar.
Namun hari ini, setiap perbezaan pandangan seolah-olah sengaja diubah menjadi krisis yang mengancam kelangsungan negara.
Setiap dasar dijadikan isu perkauman.
Setiap pelantikan dijadikan isu agama.
Setiap pilihan raya dianggap sebagai pertarungan hidup dan mati.
Setiap hantaran di media sosial pula menjadi peluang untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa jiran mereka sendiri ialah musuh.
Hakikatnya, ada pihak yang meraih keuntungan luar biasa dengan membuat rakyat Malaysia saling membenci.
Dan tanpa sedar, kita terus memberikan apa yang mereka mahukan.
Siasatan itu turut menggambarkan bagaimana kemarahan dirancang dengan begitu teliti.
Dimulakan dengan tajuk yang provokatif.
Diikuti pencetus emosi.
Kemudian naratif yang disunting secara terancang.
Disokong oleh komen yang diselaraskan.
Diperkuat melalui penyebaran secara buatan.
Selepas itu, algoritma media sosial mengambil alih.
Semua ini bukan berlaku secara kebetulan.
Ia merupakan proses yang direka bentuk dengan teliti.
Apa yang masih gagal disedari ramai ialah ekonomi perhatian pada hari ini lebih menghargai reaksi emosi berbanding kebenaran yang objektif.
Platform digital tidak bertanya sama ada sesuatu itu benar.
Sebaliknya, mereka hanya bertanya sama ada kandungan tersebut mampu membuat pengguna berhenti menatal skrin.
Kemarahan menarik perhatian.
Ketakutan menarik perhatian.
Kebencian dan rasa tidak puas hati juga menarik perhatian.
Namun, sikap sederhana tidak.
Perbincangan yang seimbang tidak.
Malah, kebenaran juga sering kali tidak.
Keadaan ini mewujudkan satu struktur insentif yang berbahaya. Mereka yang berusaha menyatukan rakyat Malaysia semakin tenggelam daripada perhatian umum, manakala mereka yang memecah-belahkan masyarakat pula diangkat menjadi selebriti.
Lalu kita tertanya-tanya mengapa politik negara semakin toksik.
Kemunculan kecerdasan buatan (AI) kini berpotensi mempercepatkan krisis ini pada skala yang tidak pernah kita bayangkan.
Jika dahulu operasi “cybertrooper” memerlukan ratusan individu, pada masa hadapan hanya segelintir pengendali yang dilengkapi AI mampu menghasilkan ribuan video yang kelihatan meyakinkan, suara tiruan, temu bual palsu serta propaganda yang diperibadikan sepanjang masa.
Kos untuk menghasilkan kemarahan semakin murah.
Jangkauannya pula semakin luas.
Bahaya sebenar bukan sekadar penyebaran maklumat palsu.
Lebih membimbangkan ialah apabila masyarakat akhirnya hilang keyakinan terhadap maklumat itu sendiri.
Apabila rakyat tidak lagi tahu apa yang boleh dipercayai, mereka mula hilang kepercayaan terhadap institusi.
Mereka hilang kepercayaan terhadap wartawan.
Mereka hilang kepercayaan terhadap pilihan raya.
Akhirnya, mereka hilang kepercayaan antara satu sama lain.
Demokrasi tidak semestinya runtuh melalui rampasan kuasa atau revolusi.
Sebaliknya, ia boleh musnah secara perlahan-lahan melalui hakisan kepercayaan awam.
Malaysia tidak mampu membiarkan perkara ini berlaku.
Negara kita kini sedang melalui antara tempoh paling penting dalam sejarah moden. Ketika ASEAN terus berkembang, rantaian bekalan global berubah, kecerdasan buatan mentransformasikan pelbagai industri, dan persaingan geopolitik semakin sengit, Malaysia memiliki peluang yang luar biasa untuk muncul sebagai peneraju.
Namun kepimpinan tidak mungkin dapat dicapai jika kita terus terperangkap dalam budaya kemarahan yang berpanjangan.
Tiada pelabur memilih ketidakstabilan.
Tiada inovator mampu berkembang dalam suasana yang berpecah-belah.
Tiada negara hebat dibina atas asas kebencian yang berterusan.
Ekonomi yang kukuh dibina atas kepercayaan.
Masyarakat yang kukuh dibina atas kepercayaan.
Demokrasi yang kukuh juga dibina atas kepercayaan.
Kepercayaan tidak mungkin dapat bertahan jika kebencian telah menjadi satu industri.
Cabaran ini bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata.
Syarikat teknologi perlu memikul tanggungjawab yang lebih besar terhadap algoritma yang mengaut keuntungan daripada perpecahan masyarakat.
Pemimpin politik pula mesti menolak kempen yang bergantung kepada kebencian yang direka dan dimanipulasi.
Organisasi media harus menolak godaan untuk menjadi penyebar kemarahan semata-mata demi mengejar jumlah klik.
Sektor perniagaan juga tidak seharusnya membiayai kempen yang meracuni masyarakat yang menjadi tempat mereka beroperasi dan meraih keuntungan.
Dan yang paling penting, setiap rakyat Malaysia mesti menjadi individu yang lebih sukar dimanipulasi.
Sebelum berkongsi.
Sebelum mengulas.
Sebelum bertindak balas.
Tanyakan satu soalan yang mudah:
Siapakah yang mendapat manfaat jika saya menjadi marah?
Kerana semakin hari, jawapannya semakin jelas.
Ada pihak yang benar-benar mendapat keuntungan daripadanya.
Malaysia telah berjaya mengharungi cabaran yang jauh lebih besar daripada ancaman “troll” tanpa nama, penyebaran maklumat palsu yang tersusun dan manipulasi digital.
Kita telah membina sebuah negara daripada kepelbagaian.
Kita telah mengharungi krisis ekonomi.
Kita telah menempuh pergolakan politik.
Dan berkali-kali kita membuktikan bahawa apabila rakyat Malaysia enggan membiarkan orang lain mentakrifkan kita berdasarkan perbezaan, kita mampu mencapai kejayaan yang luar biasa.
Ancaman terbesar terhadap masa depan negara bukanlah kerana kita mempunyai perbezaan pendapat.
Sebaliknya, ancaman sebenar ialah apabila ada pihak yang menemui cara untuk mengaut keuntungan dengan memastikan kita tidak pernah berhenti bertelagah.
Ekonomi kebencian hanya akan terus hidup jika kita terus melabur di dalamnya.
Mungkin hari ini, tindakan patriotik yang paling bermakna bukan lagi sekadar mengibarkan Jalur Gemilang.
Sebaliknya, ia adalah keengganan kita untuk membiarkan sesiapa meyakinkan bahawa seorang lagi rakyat Malaysia ialah musuh kita semata-mata kerana ia menguntungkan strategi politik atau model perniagaan mereka.
Kerana sebuah negara yang dibina atas kemarahan tidak akan pernah mencapai potensi sebenar.
Namun sebuah negara yang dibina atas asas kepercayaan mampu mencapai hampir segala-galanya. - Getaran, 4 Julai 2026


