Ekonomi Malaysia diramal berkembang antara 4% hingga 4.8%, kata BNM

LocalBusiness & Finance
28 Jul 2025 • 12:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ekonomi Malaysia diramal berkembang antara 4% hingga 4.8%, kata BNM

image is not available

28/07/2025 - 12:34

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Julai - Ekonomi Malaysia kekal berada di landasan kukuh dan diunjur berkembang antara 4% hingga 4.8% pada 2025 disokong permintaan domestik yang berdaya tahan, keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan dan aktiviti pelaburan berterusan.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, unjuran pertumbuhan itu juga mengambil kira senario tarif yang pelbagai, merangkumi senario kemungkinan kenaikan tarif yang berterusan serta hasil rundingan perdagangan yang lebih menggalakkan.

Katanya, hasil rundingan perdagangan yang menggalakkan, dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju, permintaan berterusan terhadap barangan elektrik dan elektronik, serta aktiviti pelancongan yang giat boleh meningkatkan prospek eksport dan pertumbuhan Malaysia.

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan meskipun menghadapi ketidakpastian global dengan sebahagiannya disebabkan pembaharuan struktur yang telah dilaksanakan sejak sekian lama.

image is not available
Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour

"Kegiatan ekonomi yang terus kukuh serta inflasi yang sederhana menyediakan persekitaran yang menyokong bagi meneruskan pembaharuan struktur untuk membentuk Malaysia yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, prospek pertumbuhan Malaysia akan dipengaruhi perubahan dasar perdagangan dan ketidakpastian berkaitan perkembangan tarif serta ketegangan geopolitik.

Bagaimanapun, Malaysia mempunyai kelebihan kerana ekonomi negara menghadapi rintangan luaran ini dari kedudukan yang kukuh. Penunjuk terkini, termasuk anggaran awal bagi pertumbuhan suku kedua, terus
menunjukkan kegiatan ekonomi yang masih kukuh.

Sementara itu, inflasi keseluruhan diunjur kekal sederhana pada purata 1.5% hingga 2.3% pada tahun ini.

BNM berkata, unjuran terkini mencerminkan prospek kos dan permintaan yang lebih sederhana sejak bulan Mac 2025. Tekanan inflasi daripada harga komoditi global dijangka kekal terhad dan menyumbang kepada
keadaan kos domestik yang sederhana.

Katanya, dalam persekitaran semasa kesan langkah-langkah dasar domestik dijangka kekal terkawal. - DagangNews.com

standard