Penurunan kadar faedah diramal jejaskan margin pinjaman AmBank bagi jangka sederhana, kata penganalisis

Business & Finance
28 Jul 2025 • 3:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penurunan kadar faedah diramal jejaskan margin pinjaman AmBank bagi jangka sederhana, kata penganalisis

image is not available

28/07/2025 - 15:41

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Julai - Penurunan kadar faedah baru-baru ini diramal menjejaskan rancangan AMMB Holdings Bhd (AmBank) untuk meningkatkan margin pinjaman dalam jangka masa sederhana, kata penganalisis.

Margin faedah bersih (NIM), iaitu ukuran keuntungan berdasarkan kadar faedah yang dikenakan ke atas pinjaman selepas ditolak pulangan yang dibayar kepada deposit, dijangka menyusut tahun ini dan boleh mengganggu rancangan kumpulan itu.

“Bagi jangka masa panjang, pihak pengurusan tidak menunjukkan keyakinan tinggi terhadap rancangan awal mereka untuk meningkatkan NIM," kata MBSB Research dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu berkata, Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang lebih rendah “mengganggu perancangan, walaupun pihak pengurusan percaya NIM secara umumnya masih berada pada landasan yang betul” disebabkan campuran produk yang menyasarkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, walaupun pinjaman berkadar terapung akan diselaraskan semula tidak lama selepas perubahan kadar dasar, kadar faedah ke atas deposit hanya akan disesuaikan apabila tempohnya matang, dan ketidakpadanan ini akan memberi tekanan kepada keuntungan bank yang sangat bergantung kepada pendapatan faedah daripada pinjaman.

Di bawah strategi Winning Together 29 yang diperkenalkan tahun lalu, AMMB menyasarkan untuk meningkatkan NIM melebihi 2% menjelang akhir tahun kewangan berakhir 31 Mac 2029 (FY29), berbanding 1.79% pada FY24.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) menganggarkan, NIM boleh menyusut sehingga empat mata asas secara tahunan susulan daripada penurunan kadar tersebut.

“Penurunan kadar baru-baru ini dijangka menyebabkan penyusutan margin selama dua bulan, memandangkan sebahagian besar pelarasan harga semula akan berlaku pada Disember,” kata firma penyelidikan itu.

AMMB telah menyelesaikan integrasi perniagaan PKS runcitnya ke dalam bahagian perbankan perniagaan, dan syarikat yang mengendalikan francais AmBank kini berusaha untuk mempercepatkan pertumbuhan pinjaman dalam segmen tersebut.

“Kami berpendapat bahawa peralihan kumpulan kepada campuran pinjaman yang lebih tertumpu kepada segmen PKS yang menawarkan hasil lebih tinggi serta tumpuan berterusan untuk meningkatkan deposit runcit akan membawa kepada pengembangan NIM dalam jangka masa panjang,” kata Public Investment Bank (PublicInvest).

Deposit daripada PKS dianggap sebagai “sumber pembiayaan yang baik”, yang boleh digunakan untuk menyokong pertumbuhan pinjaman dalam perbankan perusahaan, menurut firma tersebut. - DagangNews.com

standard