Ekonomi Malaysia diunjur cecah AS$1 trilion menjelang 2035 – S&P Global

Business & Finance
5 Dec 2023 • 3:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ekonomi Malaysia diunjur cecah AS$1 trilion menjelang 2035 – S&P Global

diyana

05/12/2023 - 15:33

KUALA LUMPUR 5 Dis - Pertumbuhan Malaysia bagi jangka sederhana dan panjang dijangka kekal menggalakkan, serta diunjurkan menjadi ekonomi bernilai AS$1 trilion (AS$ = RM4.66) menjelang 2035.

Ketua Ahli Ekonomi Asia Pasifik S&P Global Market Intelligence, Rajiv Biswas berkata jumlah keluaran dalam negara kasar (KDNK) nominal yang diukur dalam dolar Amerika Syarikat (AS) diunjurkan meningkat daripada sekitar AS$400 bilion dalam 2022 kepada AS$710 bilion menjelang 2030 dan AS$1 trilion menjelang 2035.

Dalam komentar ekonominya, beliau berkata KDNK per kapita diunjurkan meningkat daripada AS$12,000 pada 2022 kepada AS$19,300 menjelang 2030 dan AS$26,400 menjelang 2035.

image is not available


Unjuran S&P Global terhadap KDNK jangka panjang Malaysia

Menurut Biswas, peningkatan tersebut akan membantu memacu pertumbuhan pasaran pengguna domestik dan juga melonjakkan Malaysia ke dalam barisan ekonomi berpendapatan tinggi dunia seperti yang diukur oleh KDNK setiap orang.

"Ekonomi Malaysia melantun kukuh pada 2022, dengan momentum pertumbuhan ekonomi dirangsang oleh pelonggaran langkah sekatan COVID-19 serta eksport memberangsangkan bagi produk elektrik dan elektronik, produk minyak sawit serta eksport minyak dan gas.

"Pada 2023, momentum pertumbuhan telah menyederhana apabila diukur pada asas tahun ke tahun, disebabkan kesan tahun asas dan penurunan ketara eksport barangan.

"Bagaimanapun, kadar pertumbuhan suku ke suku telah meningkat dengan ketara pada suku kedua dan ketiga 2023," katanya.

Meskipun terdapat kelembapan dalam tempahan elektronik global pada 2023, Biswas berkata prospek ekonomi jangka sederhana bagi industri elektronik Malaysia adalah menggalakkan.

Beliau berkata, tinjauan untuk permintaan elektronik disokong oleh perkembangan teknologi utama, termasuk pelancaran 5G dalam tempoh lima tahun akan datang, yang bakal memacu permintaan untuk telefon mudah alih 5G.

Beliau berkata permintaan untuk elektronik industri juga dijangka berkembang pesat dalam jangka sederhana, dibantu oleh Industri 4.0, memandangkan automasi industri dan internet kebendaan (IoT) meningkatkan pertumbuhan tersebut.

"Daya saing Malaysia sebagai hab elektronik global telah diserlahkan dengan keputusan beberapa syarikat multinasional elektronik untuk melabur dalam projek baharu berskala besar.

"Intel melabur AS$7 bilion dalam kilang pembungkusan semikonduktor baharu di Pulau Pinang, yang dijangka siap menjelang 2024 dan mewujudkan beribu-ribu pekerjaan baharu di Malaysia.

"Infineon Technologies sedang membina modul fabrik wafer tercanggih di Kulim, dengan pelaburan sekitar RM8 bilion.

“Modul baharu yang dijangka siap pada 2024 itu akan menambah kapasiti pengeluaran yang ketara dalam semikonduktor kuasa," katanya. - DagangNews.com