Perbelanjaan modal global industri minyak dan gas dijangka meningkat 0.5% tahun depan – BMI

Business & Finance
5 Dec 2023 • 4:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perbelanjaan modal global industri minyak dan gas dijangka meningkat 0.5% tahun depan – BMI

diyana

05/12/2023 - 16:49

KUALA LUMPUR 5 Dis - Perbelanjaan modal (capex) global untuk industri minyak dan gas (O&G) diunjur mencecah AS$606.6 bilion (AS$1=RM4.66) pada 2024, meningkat 0.5% tahun ke tahun susulan jangkaan pertumbuhan 5.1% untuk 2023, menurut BMI.

Unit Fitch Solutions itu berkata tinjauan pertumbuhan 2024 itu adalah berdasarkan pendekatan berhati-hati dalam pelaburan yang diambil oleh syarikat-syarikat O&G berikutan ketidakpastian yang semakin meningkat dan penurunan harga tenaga.

"Kebanyakan syarikat tersenarai awam akan terus mengutamakan nilai berbanding pertumbuhan keluaran, menyekat potensi peningkatan pelaburan," katanya dalam nota yang dikeluarkan hari ini.

BMI berkata peningkatan kadar faedah menambahkan halangan untuk pelaburan baharu O&G pada 2024, kerana pengurangan margin keuntungan pada projek modal tinggi akan menangguhkan keputusan pelaburan akhir .

Walaupun impak faedah yang lebih tinggi berbeza-beza merentasi pelbagai syarikat dalam industri ini, firma itu berkata mereka yang bergantung kepada pembiayaan berkemungkinan besar akan mengalami kesan kadar yang lebih tinggi, tambahnya.

BMI berkata mengoptimumkan projek dan pengurangan kos membantu menurunkan capex projek tetapi kadar faedah lebih tinggi memaksa keperluan untuk pulangan lebih tinggi bagi mengimbangi beban kos pembiayaan yang lebih besar.

“Ketidakpastian yang semakin meningkat berhubung harga tenaga lebih tinggi pada tahun-tahun akan datang bagi menghadapi peralihan tenaga, mengehadkan projek menerima pelaburan hanya kepada projek yang mempunyai kos pulang modal terendah dengan margin tinggi.

“Pada dasarnya, dengan kadar faedah lebih tinggi dan inflasi lebih rendah, pulangan yang diperlukan daripada pelabur semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, pilihan raya akan diadakan di beberapa negara pengeluar utama O&G dan permintaan bertumpu pada 2024, termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, India, Afrika Selatan, Mexico, Rusia dan Venezuela.

“Memandangkan dasar penyahkarbonan menjadi garis pemisah dalam kalangan parti politik dalam ekonomi ini, ketidaktentuan pilihan raya akan menambah risiko kepada komitmen peralihan tenaga dan dengan itu prospek industri O&G, bagi kedua-dua bekalan dan permintaan,” tambahnya. - DagangNews.com