Ekonomi Malaysia pada 2H25 diramal kekal stabil disokong permintaan domestik berdaya tahan - penganalisis

LocalBusiness & Finance
12 Aug 2025 • 10:53 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ekonomi Malaysia pada 2H25 diramal kekal stabil disokong permintaan domestik berdaya tahan - penganalisis

image is not available

12/08/2025 - 10:53

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Ekonomi Malaysia diramal kekal stabil pada separuh kedua tahun ini (2H25) disokong permintaan domestik berdaya tahan, sokongan dasar serta pemulihan sektor pelancongan walaupun berdepan cabaran luaran akibat ketegangan perdagangan global, menurut penganalisis.

Aktiviti perdagangan pengedaran dan perkhidmatan dijangka kekal stabil, disokong peningkatan kapasiti perbelanjaan isi rumah hasil daripada pelonggaran dasar monetari dan langkah fiskal baru-baru ini.

CIMB Securities berkata, pertumbuhan suku tahunan bagi jumlah perdagangan pengedaran kekal stabil, dengan pertumbuhan 4.3% dari tahun ke tahun (y-o-y) pada suku kedua 2025 (2Q25), sama seperti 1Q25.

Sementara itu, pertumbuhan volum keseluruhan sektor perkhidmatan merosot kepada 5% y-o-y berbanding 5.2% pada 1Q25, disebabkan perkembangan lebih perlahan dalam subsektor kewangan dan insurans, pengangkutan, serta hartanah.

Firma penyelidikan itu menganggarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2Q25 pada 4.4%, sedikit di bawah anggaran awal sebanyak 4.5% dan sepadan dengan kadar 1Q25.

"Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK sebanyak 4.3% untuk tahun ini, disokong pengurangan tarif AS sebanyak 19% ke atas Malaysia dan langkah dasar domestik terkini,” katanya dalam satu nota kajian sambil berkata, risiko penurunan masih wujud susulan tumpuan Washington terhadap tarif semikonduktor, yang boleh memberi kesan besar kepada sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia.

Jabatan Perangkaan (DOSM) melaporkan, Indeks Perdagangan Pengedaran meningkat sebanyak 4.3% y-o-y pada bulan Jun kepada 162.4 mata, kekal pada kadar yang sama seperti pada bulan Mei.

Dari segi nilai, jualan meningkat kepada 4.8% y-o-y kepada RM153 bilion, menunjukkan perbelanjaan pengguna yang berterusan walaupun dalam persekitaran global yang tidak menentu.

Kenanga Research berkata, pertumbuhan perdagangan pengedaran mencatat purata 4.9% pada separuh pertama 2025 (1H25), dengan perdagangan borong meningkat 5.3% dan perdagangan runcit naik 5.9%.

Katanya, momentum akan beransur-ansur meningkat pada separuh kedua 2025 (2H25), disokong oleh “peningkatan ketibaan pelancong, permintaan domestik yang berterusan, dan perbelanjaan kerajaan yang lebih tinggi selaras dengan tren bermusim.”

Firma penyelidikan itu berkata, “risiko domestik dilihat terhad” selepas kerajaan mengambil langkah menurunkan harga bahan api RON95 kepada RM1.99 seliter untuk 18 juta orang, di samping bantuan tunai yang lebih tinggi, yang menurutnya akan membantu meringankan tekanan kos sara hidup.

Walaupun firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK sebanyak 4.3% bagi tahun ini, ia memberi amaran, ancaman terbaharu Presiden AS, Donald Trump untuk mengenakan tarif 100% ke atas import cip tertentu boleh menambah ketidaktentuan baharu terhadap prospek perdagangan dan eksport global, khususnya bagi sektor E&E Malaysia. - DagangNews.com

featured standard