Prospek Hartalega kekal mencabar disebabkan isu cukai tambahan RM101.36 juta, lebihan bekalan - penganalisis

07/08/2025 - 16:42
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 7 Ogos - Prospek pengeluar sarung tangan, Hartalega Holdings Bhd kekal mencabar akibat isu cukai taksiran tambahan berjumlah RM101.36 juta serta lebihan bekalan di dalam pasaran, kata penganalisis.
Kebanyakan penganalisis kekal berhati-hati disebabkan lebihan bekalan daripada pengeluar sarung tangan China yang menyebabkan pesaingan harga yang semakin sengit serta isu cukai tertunggak daripada jumlah taksiran tambahan antara 2017 hingga 2022.
CIMB Securities mengekalkan penarafan “pegang” terhadap saham Hartalega, menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM1.45 daripada RM2.30, dan berkata pemangkin jangka pendek kekal terhad disebabkan ketidaktentuan berkaitan tarif dan pengembangan kapasiti pemain China di luar negara yang boleh terus memberi tekanan kepada industri.
“Namun, kami melihat ruang penurunan harga saham adalah terhad pada paras semasa, kerana penilaian harga terhadap nilai buku kini telah kembali ke paras yang terakhir dilihat semasa lambakan bekalan sarung tangan pada 2023,” katanya dalam satu nota kajian.
MBSB Research mengekalkan saranan “neutral” terhadap saham itu dengan harga sasaran RM1.24, diturunkan daripada RM2.45.
Firma penyelidikan itu berkata, margin keuntungan semakin mengecil berikutan tekanan harga yang berterusan dari pengeluar sarung tangan China, terutamanya di pasaran bukan Amerika Syarikat (AS).
"Gabungan purata harga jualan (ASP) juga merosot sebanyak 5% dari tahun ke tahun.
“Dengan tekanan terhadap kedua-dua hasil dan kos, kami mendapati margin keuntungan menyusut kepada 2.4% berbanding 6.8% setahun lalu,” katanya, sambil menambah persekitaran operasi yang mencabar telah menyebabkan semakan semula pendapatan menurun lebih 50% untuk FY26 dan FY27.
Phillip Capital turut mengekalkan penarafan “pegang” dengan harga sasaran (TP) RM1.34, diturunkan daripada RM1.64, mencerminkan andaian ASP lebih rendah iaitu AS$19 hingga AS$21 bagi setiap 1,000 keping, berbanding AS$20 hingga AS$22 sebelum ini, serta pengurangan dalam jumlah jualan selaras dengan panduan terkini syarikat iaitu enam bilion hingga enam setengah bilion keping.
Maybank Investment Bank Research pula mengekalkan saranan “jual” dengan TP RM1.35, diturunkan daripada RM1.41.
Firma penyelidikan itu menyatakan bahawa syarikat akan terus memberi tumpuan kepada segmen utama sarung tangan nitril serta usaha pengoptimuman kos, termasuk penempatan semula tenaga kerja dan pelaburan sebanyak RM200 juta hingga RM300 juta dalam tempoh 18 hingga 24 bulan akan datang untuk automasi dan naik taraf penjimatan tenaga. - DagangNews.com
standard
