
WASHINGTON: Perang Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran dan tindakan balas Teheran termasuk membuat sekatan di Selat Hormuz menyebabkan ekonomi negara-negara Arab mengalami kerugian hampir AS$150 bilion (RM612.39 bilion) dalam tempoh sebulan pertama krisis itu.
Jumlah tersebut melibatkan kira-kira empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serantau, menurut kenyataan sebuah suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kenyataan itu merupakan sebahagian daripada ucapan Timbalan Setiausaha Agung (PBB) dan Setiausaha Eksekutif Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB bagi Asia Barat (ESCWA), Rania Al-Mashat dalam mesyuarat formula Majlis Keselamatan PBB Arria yang diadakan atas inisiatif Bahrain.
ESCWA terdiri daripada 21 negara anggota Arab, meliputi kawasan dari Afrika Utara hingga Asia Barat.
Dalam mesyuarat itu, Al-Mashat berkata, ancaman terhadap perkapalan di Selat Hormuz dan Bab al-Mandeb bukan sekadar isu keselamatan, malah menjejaskan pembangunan, bekalan keperluan asas, kestabilan ekonomi, perniagaan kecil dan ekonomi global.
“Dari Teluk melalui Selat Hormuz ke Laut Merah menerusi Selat Bab al-Mandeb, laut, selat dan pelabuhan saling berkait dalam satu sistem yang membawa tenaga, makanan serta perdagangan ke seluruh dunia. Jika satu pautan terganggu, keseluruhan rantaian akan terjejas,” katanya.
Beliau berkata, Selat Hormuz membawa kira-kira 25 peratus perdagangan minyak global melalui laut dan 19 peratus perdagangan gas asli cecair (LNG), sambil menambah negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) turut mengeksport sebahagian besar ammonia, baja, sulfur serta aluminium dunia.
Beliau memberitahu para perwakilan, sebelum perang AS-Iran tercetus, sembilan daripada 22 negara Arab sudah berada dalam konflik atau baru keluar daripada perang, dengan infrastruktur yang rosak, ruang fiskal terhad dan kebergantungan tinggi terhadap import makanan serta bahan api.
Beliau turut berkata, ekonomi serantau berusaha mempelbagaikan struktur ekonominya. Namun perang berisiko menyebabkan pelaburan tertangguh.
Pegawai ESCWA itu menyifatkan laluan maritim yang selamat sebagai isu pembangunan dan keselamatan bersama, bukan semata-mata isu ketenteraan, selain menggesa perancangan serantau secara pencegahan dilakukan tanpa menunggu gangguan yang lebih serius berlaku.
Al-Mashat turut menggesa supaya konflik tidak terus memuncak dan kesan rentas sempadannya dapat dikawal, sekali gus mengurangkan kesan ekonomi, sosial dan kemanusiaannya.
Setiausaha Eksekutif ESCWA itu turut menggesa supaya kesiapsiagaan dan daya tahan serantau diperkukuh bagi melindungi bekalan serta memastikan perkhidmatan terus beroperasi.
The post Ekonomi negara Arab rugi hampir RM612 bilion akibat perang AS-Iran appeared first on Utusan Malaysia.



