Ekonomi negara dijangka terus positif pada separuh kedua

Business & Finance
5 Aug 2026 • 7:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ekonomi negara dijangka terus positif pada separuh kedua

PETALING JAYA: Prestasi perdagangan Malaysia dijangka terus positif pada separuh kedua 2026, disokong permintaan kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E), gas asli cecair (LNG) serta minyak sawit, meskipun ekonomi global masih berdepan ketidaktentuan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, aktiviti perdagangan antarabangsa dijangka kekal baik walaupun berhadapan risiko dasar perdagangan yang lebih bersifat melindungi di Amerika Syarikat (AS), selain ketidaktentuan harga minyak mentah susulan konflik di Iran dan gangguan laluan perkapalan di Selat Hormuz.

Katanya, sektor E&E yang menyumbang hampir separuh daripada jumlah eksport negara dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan eksport berikutan peningkatan pelaburan dalam infrastruktur teknologi, termasuk pembangunan pusat data yang memerlukan penggunaan mikrocip.

“Selain itu, permintaan terhadap LNG dan minyak sawit juga dijangka terus menyokong prestasi eksport negara sepanjang separuh kedua tahun ini.

“Sehubungan itu, pertumbuhan eksport bagi separuh kedua 2026 diunjurkan berkembang sekitar 15 hingga 17 peratus berbanding pertumbuhan 27.5 peratus yang direkodkan pada separuh pertama tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bercakap mengenai risiko luaran, Mohd Afzanizam berkata, perkembangan dasar perdagangan AS, konflik geopolitik dan kelembapan permintaan di beberapa pasaran utama kekal menjadi cabaran yang boleh menjejaskan pertumbuhan perdagangan global.

Katanya, pelaksanaan tarif import oleh AS berpotensi meningkatkan kos perdagangan sekali gus mengurangkan permintaan daripada negara berkenaan pada masa hadapan.

“Pada separuh pertama 2026, eksport Malaysia ke AS meningkat 54.9 peratus kepada RM173.4 bilion, sekali gus mencerminkan permintaan yang masih memberangsangkan.

“Hubungan dua hala yang baik antara Malaysia dan AS turut membantu memperkukuh prestasi eksport, khususnya menerusi rantaian bekalan yang saling berkait rapat dalam sektor teknologi seperti semikonduktor,” katanya.

Sementara itu, TA Securities Holdings Berhad menjangkakan pertumbuhan ekonomi negara menjadi lebih sederhana pada separuh kedua 2026, berikutan tekanan luaran yang semakin meningkat. 

Menurutnya, prestasi yang lebih kukuh daripada jangkaan pada separuh pertama 2026 telah memperbaiki prospek pertumbuhan bagi keseluruhan tahun, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kini diunjurkan berkembang sekitar 4.9 peratus, lebih tinggi berbanding unjuran sebelumnya iaitu antara 4.3 hingga 4.7 peratus. 

“Anggaran awal menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang 5.8 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2026, mengatasi jangkaan dan mencerminkan daya tahan berterusan aktiviti ekonomi. 

“Data rasmi KDNK suku kedua 2026 akan diumumkan pada 14 Ogos 2026,” ujarnya.

TA Securities juga menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan pada 2.75 peratus sepanjang 2026. 

“Walaupun kadar faedah AS yang kekal tinggi untuk tempoh lebih lama dijangka terus mempengaruhi aliran modal global dan pergerakan kadar pertukaran, prospek inflasi Malaysia kekal terkawal manakala keadaan ekonomi domestik terus menyokong pertumbuhan. 

“Sehubungan itu, kami berpandangan BNM mempunyai ruang dasar yang mencukupi untuk mengekalkan pendirian monetari semasa sambil terus memantau perkembangan ekonomi global dan pasaran kewangan,” jelasnya. – UTUSAN

The post Ekonomi negara dijangka terus positif pada separuh kedua appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved