johardy04/08/2026 - 09:20 Gambar BERNAMA Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Ogos – JF Apex Securities Research menjangkakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan pada separuh kedua 2026 selepas prestasi Barisan Nasional (BN) yang lebih baik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan mengukuhkan pandangan firma penyelidikan itu bahawa UMNO semakin yakin untuk mendapatkan mandat baharu di peringkat Persekutuan.
BN muncul sebagai gabungan terbesar dalam PRN Negeri Sembilan selepas memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), meningkat berbanding 14 kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya negeri 2023.
Perwakilan Pakatan Harapan (PH) pula merosot kepada 11 kerusi daripada 17 kerusi sebelum ini, manakala Perikatan Nasional (PN) meningkatkan jumlah kerusinya kepada tujuh berbanding lima sebelum ini.
JF Apex Securities Research berkata, keputusan itu merupakan satu lagi pencapaian memberangsangkan bagi BN selepas kemenangan besarnya dalam PRN Johor, apabila gabungan itu memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Menurut firma penyelidikan itu, kedua-dua keputusan pilihan raya negeri tersebut perlu dilihat secara bersama kerana ia menunjukkan momentum sokongan terhadap BN terus mengukuh menjelang PRU16.
Firma itu berpandangan keputusan terbaharu tersebut turut mengukuhkan kedudukan tawar-menawar UMNO dalam Kerajaan Perpaduan dan berkemungkinan meningkatkan perbincangan mengenai masa yang sesuai untuk mengadakan PRU16 dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Walaupun Perdana Menteri boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Dewan Rakyat, pembubaran Parlimen adalah tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Sasaran FBM KLCI diturunkan
Dari sudut pasaran, JF Apex Securities Research berkata, jangkaan PRU16 diadakan lebih awal berpotensi meningkatkan premium risiko politik apabila pelabur mula mengambil kira ketidaktentuan mengenai garis masa pilihan raya, hala tuju dasar serta kemungkinan rombakan Kabinet.
Firma penyelidikan itu turut mengambil pendirian lebih berhati-hati terhadap pasaran ekuiti Malaysia berikutan ketidaktentuan pasaran serantau, aliran keluar berterusan dana asing serta risiko geopolitik.
Sehubungan itu, JF Apex Securities Research menurunkan sasaran akhir tahun bagi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kepada 1,770 mata daripada 1,787 mata sebelum ini selepas menggunakan andaian teknikal yang lebih konservatif.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu masih melihat sebarang kelemahan pasaran berkaitan pilihan raya sebagai peluang membeli dan bukannya petanda prospek pelaburan jangka panjang Malaysia semakin merosot.
Ia turut mengesyorkan pelabur mengamalkan strategi `barbell' dengan mengimbangi pegangan dalam syarikat yang mempunyai pendapatan stabil serta berdaya tahan, bersama saham pertumbuhan berkualiti yang mendapat manfaat daripada kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, automasi industri, pusat data dan pembangunan infrastruktur. - DagangNews.com






