hamden28/10/2026 - 11:51 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Okt - Negara bakal berdepan kekurangan stok bahan api sehingga boleh menjejaskan kehidupan harian rakyat serta kelancaran aktiviti ekonomi negara jika penyelarasan subsidi BUDI95 dikurangkan kepada 200 liter sebulan tidak dilaksanakan segera.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata langkah proaktif itu digerakkan secara terancang bagi mengurus tekanan bekalan semasa tanpa menjejaskan majoriti pengguna.
"Pelarasan ini juga mengambil kira peningkatan mendadak tanggungan Kerajaan bagi subsidi RON95 dan diesel, iaitu daripada sekitar RM700 juta sebulan pada Januari 2026 kepada hampir RM5 bilion sebulan pada Mac 2026, sebelum memuncak sehingga RM7.5 bilion sebulan susulan krisis tersebut, apabila harga minyak mentah Brent mencecah sehingga USD120 setong.
"Keputusan ini turut disokong oleh analisis data penggunaan sebenar, serta keperluan untuk memastikan subsidi bahan api dapat terus disalurkan secara mampan kepada rakyat yang layak," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang bertanya justifikasi pengurangan kuota Budi95 daripada 300 kepada 200 liter sebelum dinaikkan semula mulai 1 September 2026, serta jumlah sebenar penjimatan subsidi bahan api sepanjang tahun ini.
Amir Hamzah berkata, penetapan had kelayakan asas BUDI MADANI sebanyak 200 liter ini dibuat berdasarkan analisis data penggunaan sebenar BUDI95 antara Oktober 2025 sehingga Mei 2026 iaitu kurang daripada 1 peratus pengguna BUDI95 menggunakan lebih daripada 200 liter RON95 secara konsisten.
Pendekatan responsif berpandukan data
Katanya, kerajaan sentiasa mengambil pendekatan yang responsif dan berdasarkan data, termasuk pemantauan berterusan terhadap perkembangan bekalan dan harga pasaran tenaga global, kedudukan fiskal negara serta maklum balas rakyat.
"Oleh itu, susulan keadaan bekalan bahan api yang didapati lebih stabil dan perbelanjaan subsidi yang pada masa ini sekitar RM4 bilion sebulan, mulai 1 September 2026, Kerajaan telah menaikkan semula kelayakan BUDI95 kepada 300 liter sebulan," katanya.
Bagi jumlah penjimatan subsidi bahan api sepanjang tahun ini, angka muktamad adalah tertakluk kepada pelarasan transaksi sebenar, harga pasaran mingguan, kadar pertukaran mata wang dan jumlah penggunaan yang disahkan, dan akan dimuktamadkan pada hujung tahun ini.
"Dari segi fiskal, pelaksanaan BUDI95 secara keseluruhannya dijangka menjana penjimatan sekitar RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun," katanya.
Menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (PH-Bentong), Amir Hamzah berkata, setakat 27 Oktober 2026, lebih 291,000 pengguna kenderaan diesel jenis pikap dan jip di seluruh negara telah menikmati kelayakan tambahan 100 liter di bawah BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel).
Beliau menambah, sehingga 26 Oktober 2026, lebih 27,200 kenderaan jenis pikap dan jip milik lebih 19,350 syarikat di seluruh negara telah didaftarkan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS). - DagangNews.com






