BUDI95: Kurang 1 peratus pengguna guna lebih 200 liter secara konsisten

LocalBusiness & Finance
28 Oct 2026 • 4:03 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kurang satu peratus pengguna BUDI MADANI RON95 (BUDI95) menggunakan petrol melebihi 200 liter sebulan secara konsisten, berdasarkan analisis data penggunaan bagi tempoh Oktober 2025 hingga Mei 2026, lapor Buletin TV3.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, data berkenaan menjadi rujukan kerajaan dalam menentukan had kelayakan asal BUDI95 sebanyak 200 liter sebulan sebelum dinaikkan kepada 300 liter mulai 1 September lalu.

“Penetapan had kelayakan asas BUDI MADANI sebanyak 200 liter ini dibuat berdasarkan analisa data pengguna sebenar BUDI 95 antara Oktober 2025 hingga Mei 2026, iaitu kurang daripada 1% pengguna BUDI95 menggunakan lebih daripada 200 liter RON95 secara konsisten,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan di Dewan Rakyat, hari ini.

Image from: BUDI95: Kurang 1 peratus pengguna guna lebih 200 liter secara konsisten

Foto arkib: NSTP

Amir Hamzah menjelaskan, langkah mengehadkan penggunaan bulanan itu sebelum ini merupakan antara usaha kerajaan memastikan bekalan bahan api negara kekal terjamin ketika pasaran tenaga global berdepan ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat.

Menurutnya, tekanan terhadap perbelanjaan subsidi bahan api turut meningkat ketara sepanjang tempoh berkenaan, dengan subsidi RON95 dan diesel yang berjumlah kira-kira RM700 juta pada Januari 2026 melonjak kepada hampir RM5 bilion pada Mac, sebelum mencapai RM7.5 bilion sebulan ketika krisis berlaku.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan had 200 liter itu tidak menjejaskan kelayakan rakyat Malaysia yang layak untuk terus mendapatkan petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter.

“Sepanjang tempoh had 200 liter dilaksanakan, rakyat Malaysia yang layak dapat terus menikmati RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, manakala harga pasaran sebenar hanya terpakai kepada pihak yang tidak layak,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Amir Hamzah berkata, pelaksanaan BUDI95 secara keseluruhan dijangka membolehkan kerajaan menjimatkan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun.

Beliau berkata, penjimatan itu akan disalurkan semula bagi memperkukuh pelaksanaan bantuan bersasar kepada rakyat, termasuk menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Sumber: Buletin TV3 (Douglas Elliot David)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved