
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia yang mengukuh 6.0 peratus suku kedua 2026 berbanding 5.4 peratus pada suku sebelumnya didorong oleh permintaan dalam negeri berterusan serta eksport yang kukuh.
Prestasi itu juga lebih baik berbanding pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.4 peratus yang dicapai pada suku kedua tahun lalu, selain perbelanjaan isi rumah disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang stabil.
Ketua Perangkawan, Siti Asiah Ahmad berkata, sokongan dasar-dasar yang berterusan turut memainkan peranan utama.
“Pertumbuhan pelaburan pula disokong oleh perbelanjaan yang berterusan bagi struktur, jentera dan kelengkapan.
“Dalam sektor luaran, pertumbuhan pesat eksport didorong terutamanya oleh permintaan yang terus kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) dan pengembangan perkhidmatan yang berterusan, di samping pemulihan eksport gas asli cecair dan produk perkilangan bukan E&E.
“Import kasar terus berkembang berikutan pertumbuhan yang kukuh dalam import barangan perantaraan dan barangan pengguna,” katanya dalam sidang akhbar Prestasi Ekonomi Suku Kedua 2026 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM) di sini semalam.
Sementara itu, Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, inflasi keseluruhan meningkat kepada 1.9 peratus pada suku kedua berbanding 1.6 peratus suku pertama manakala inflasi teras menurun kepada 1.9 peratus berbanding 2.1 pada suku sebelumnya.
“Peningkatan inflasi keseluruhan sebahagian besarnya mencerminkan tekanan kos luaran yang lebih tinggi susulan konflik di Asia Barat.
“Harga bahan api, khususnya RON97 dan diesel, meningkat sepanjang suku tersebut, sekali gus menyebabkan inflasi bahan api yang lebih tinggi lima peratus berbanding 1.5 peratus pada suku pertama.
“Walaupun tekanan kos pengeluar meningkat, tekanan tersebut kekal tertumpu pada peringkat huluan. Kesan limpahan masih terhad bagi peringkat pengeluaran seterusnya dan harga pengguna secara lebih meluas sepanjang suku tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi luar jangka 6.0 peratus membuktikan reformasi kerajaan di bawah kerangka Ekonomi Madani telah membantu mengurangkan kesan gangguan bekalan global terhadap rakyat.
Anwar berkata, krisis Asia Barat menggugat rantaian bekalan serta ekonomi dunia dan kerajaan telah mengambil langkah serta-merta untuk melindungi rakyat dan perniagaan.
Katanya, antaranya menyediakan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas serta mengekalkan subsidi bahan api secara bersasar agar rakyat dan perniagaan terlindung daripada tempias kejutan ekonomi dari luar.
“Ikhtiar ini membantu mengekalkan perbelanjaan isi rumah, merancakkan kegiatan perniagaan serta mempertahankan momentum pertumbuhan pada suku kedua 2026,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penggunaan swasta berkembang sebanyak 4.8 peratus didorong oleh perbelanjaan yang lebih tinggi bagi restoran dan hotel, pengangkutan serta makanan dan minuman berikutan sambutan perayaan, cuti sekolah pertengahan tahun dan aktiviti berkaitan pelancongan yang berterusan.
Katanya, pelaburan swasta dan awam juga kekal berkembang disokong oleh pelaburan berterusan dalam sektor teknologi dan pelaksanaan infrastruktur utama di seluruh negara. – UTUSAN
The post Ekonomi negara mengukuh kepada 6.0% suku kedua appeared first on Utusan Malaysia.



