
KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tumbuh sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua 2026 daripada 5.4 peratus pada suku pertama 2026.
Prestasi itu juga lebih baik berbanding pertumbuhan 4.4 peratus yang dicapai pada suku sama tahun lalu.
Ketua Perangkawan, Siti Asiah Ahmad berkata, pertumbuhan didorong oleh pertumbuhan eksport yang mampan terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta minyak dan gas, perbelanjaan isi rumah yang stabil, dan aktiviti pelaburan berterusan.
“Dari segi penawaran, pertumbuhan disokong oleh pengembangan sektor perkhidmatan dan perkilangan.
“Pertumbuhan sektor perkhidmatan yang lebih tinggi didorong oleh subsektor berkaitan perniagaan, terutamanya subsektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berikutan peningkatan pengoperasian pusat data,” katanya pada sidang akhbar prestasi ekonomi suku kedua 2026 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM) di sini, hari ini.
Sementara itu, Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, inflasi keseluruhan meningkat kepada 1.9 peratus berbanding 1.6 peratus pada suku pertama 2026, manakala inflasi teras menurun kepada 1.9 peratus berbanding 2.1 peratus pada suku sebelumnya.
“Peningkatan inflasi keseluruhan sebahagian besarnya mencerminkan tekanan kos luaran yang lebih tinggi susulan konflik di Asia Barat,” katanya.
Selain itu, jelasnya, harga bahan api, khususnya RON97 dan diesel, meningkat sepanjang suku tersebut sekali gus menyebabkan inflasi bahan api yang lebih tinggi berbanding 1.5 peratus berbanding suku pertama 2026.
“Walaupun tekanan kos pengeluar meningkat, tekanan tersebut kekal tertumpu pada peringkat huluan. Kesan limpahan masih terhad bagi peringkat pengeluaran seterusnya dan harga pengguna secara lebih meluas sepanjang suku tersebut,” katanya. – UTUSAN
The post Ekonomi Malaysia berkembang 6.0 peratus pada suku kedua 2026 appeared first on Utusan Malaysia.




