Kota Kinabalu: Ekonomi Sabah menunjukkan pemulihan beransur-ansur tahun lepas, walaupun masih tidak setanding dengan prestasi ekonomi pada 2019, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata berdasarkan penemuan yang diterbitkan dalam buku Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 30 Jun 2022, KDNK Sabah pada 2021 telah meningkat sebanyak 1.1 peratus kepada RM78.7 bilion berbanding KDNK bagi 2020 iaitu RM 77.8 bilion ketika pandemik Covid-19 menular ke seluruh negara.
Berdasarkan rekod, katanya, kadar pertumbuhan KDNK Sabah pada 2020 menyusut kepada negatif 7.8 peratus berbanding 2019.
“Sektor perkhidmatan mendominasi sumbangan kepada KDNK Sabah dengan 47.3 peratus, diikuti 26.0 peratus sumbangan daripada sektor perlombongan dan kuari.
“Terdapat peningkatan KDNK per kapita Sabah, iaitu RM26,674 pada 2021 berbanding RM21,706 pada 2020. KDNK per kapita Negeri berada di bawah paras nasional iaitu KDNK per kapita Malaysia sebanyak RM47,324 pada 2021,” katanya ketika berucap merasmikan program Siri Jelajah Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 Negeri Sabah (Jerayawara Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 - Sabah) di Wisma Wanita di sini, Khamis.
Ketua Menteri berkata penduduk Malaysia yang dibanci pada 2020 ialah 32.4 juta orang, berbanding 27.5 juta orang 10 tahun lalu. Sepanjang dekad itu, pertumbuhan penduduk meningkat lebih perlahan pada kadar 1.7 peratus berbanding 2010 pada kadar 2.1 peratus.
Menurut Hajiji, berdasarkan data terbitan pertama Penemuan Utama Banci Malaysia 2020, jumlah penduduk Sabah dicatatkan sebanyak 3.418 juta orang pada 2020 berbanding 3.117 juta orang pada 2010.
Beliau berkata terdapat penurunan dalam kadar pertumbuhan penduduk di Sabah daripada 2.3 peratus pada 2010 kepada 0.9 peratus pada 2020.
“Dari segi kohort umur (tinjauan), populasi belia yang ditakrifkan sebagai penduduk berumur dari 0 tahun hingga 14 tahun menyumbang 26.5 peratus daripada jumlah penduduk Sabah, iaitu lebih tinggi berbanding populasi belia negara iaitu 24.0 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia.
“Nisbah jantina penduduk Sabah mencatatkan 109 lelaki bagi setiap 100 perempuan dan ini menunjukkan bilangan lelaki lebih ramai berbanding perempuan di negeri ini,” katanya.
Hajiji berkata, sebanyak 600 Penerbitan Subnasional Dewan Undangan Negeri (DUN) turut dihasilkan menggunakan penemuan Banci Malaysia 2020, yang boleh dijadikan sumber rujukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) merancang pembangunan sosioekonomi dan strategi untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.
Beliau berkata antara penemuan utama Perangkaan Subnasional DUN bagi Sabah ialah DUN N.16 Karambunai mempunyai bilangan penduduk dan kediaman tertinggi iaitu 164,000 orang dan 35,463 kediaman.
Manakala Dun N.01 Banggi merupakan DUN yang mencatatkan jumlah penduduk dan kediaman paling rendah iaitu seramai 9,000 orang dan 2,588 kediaman.
Daerah Kota Kinabalu mempunyai penduduk tertinggi iaitu 500,421 orang, diikuti daerah Sandakan seramai 439,050 orang.
“Jika dilihat kepada komposisi penduduk muda, daerah Putatan mencatatkan 34.5 peratus, menjadikannya daerah yang mempunyai komposisi penduduk muda terbesar.
“Data dan perangkaan ini dapat memberi gambaran sebenar keadaan penduduk Sabah sekarang,” beliau menekankan.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri akan menggunakan perangkaan Banci Malaysia 2020 sehingga peringkat daerah untuk mentadbir negeri dengan lebih cekap dan berkesan.
Beliau berkata Pelan Pembangunan (SMJ) Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sedang dilaksanakan bagi memastikan pembangunan ekonomi negeri mencapai pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif kepada semua peringkat kumpulan pendapatan di Sabah.
Beliau berkata selaras dengan hala tuju SMJ, perangkaan Penerbitan Utama Banci Malaysia 2020 peringkat negeri dan daerah pentadbiran boleh dijadikan rujukan dan input kritikal untuk mengukur pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi.
“Statistik ini amat penting sebagai maklumat penting bagi Kerajaan Negeri dalam memantau dan menilai keberkesanan program pembangunan, pelaksanaan keputusan dan penyelidikan di peringkat negeri, daerah pentadbiran, parlimen dan DUN.
“Data ini juga boleh dijadikan rujukan oleh Kerajaan Negeri untuk memberikan input terbaik dalam menjayakan agenda pembangunan yang digariskan dalam Hala Tuju SMJ pada masa hadapan,” tambahnya.
Menyentuh program Jelajah itu, Hajiji berkata, program itu merupakan julung kali dianjurkan DOSM di peringkat negeri bertujuan meningkat-kan kesedaran berkaitan penemuan dan statistik yang telah diterbitkan hasil pelaksanaan Banci Malaysia 2020.
Beliau berharap DOSM yang berjaya mengeluarkan data yang boleh dipercayai akan terus mengeluarkan data yang memenuhi aspirasi dan kehendak pihak berkepentingan serta keperluan pelbagai peringkat diterjemahkan melalui peningkatan ketersediaan data sosial dan ekonomi.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


