Ekosistem data jalan raya nasional bakal diwujudkan

LocalTechnology
30 Sep 2026 • 6:38 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ekosistem data jalan raya nasional bakal diwujudkan

KUALA LUMPUR: Satu ekosistem data jalan raya nasional yang menyatukan data Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan syarikat konsesi di bawah satu piawaian bakal diwujudkan oleh kerajaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pengurusan aset jalan yang terpisah-pisah menjadi antara kebimbangan utama kementerian itu.

Katanya, masa depan infrastruktur negara bukan bergantung pada berapa banyak yang dibina tetapi pada bagaimana aset sedia ada diurus sepanjang hayatnya.

“Rakyat tidak peduli sama ada sesebuah jalan itu di bawah agensi persekutuan, negeri atau pihak berkuasa tempatan. Mereka hanya mahu jalan itu diurus dengan baik dan selamat.

“Untuk menguruskan sebuah aset, kita mesti tahu apa yang kita ada. Kita perlukan data jalan yang menyeluruh, saling berhubung, berpiawai dan boleh dipercayai,” katanya merasmikan MyASEAN Road and Traffic Tech Expo (MyARTTE) 2026 di MITEC, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, agensi kerajaan perlu berkhidmat mengikut keperluan rakyat dan bukan berlindung di sebalik sempadan institusi.

Jelasnya, pemain industri tidak boleh sekadar menjadi pengguna teknologi sebaliknya pencipta teknologi.

“Nilai terbesar terletak pada keupayaan membangunkan teknologi sendiri. Pameran ini harus dilihat sebagai platform membina syarikat, bertukar idea, menguji penyelesaian dan menembusi pasaran global,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Azmee Nin berkata, usaha menyatukan data jalan Persekutuan dan negeri di bawah satu sistem itu dilakukan melalui memorandum persefahaman (MoU) bagi program MyJalan antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Kerjasama ini selari dengan hasrat kerajaan mewujudkan satu ekosistem data jalan raya nasional yang menyatukan data Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat konsesi,” katanya.

Menurut Azmee, industri lebuh raya kini bergerak ke arah teknologi, data, kecerdasan buatan (AI), sistem pengangkutan pintar dan penyelenggaraan berkala ramalan.

“Infrastruktur hari ini bukan lagi sekadar habuk dan konkrit. Sasaran kita jelas iaitu perjalanan lebih selamat, perkhidmatan lebih baik, operasi lebih cekap dan infrastruktur lebih berdaya tahan,” katanya. – UTUSAN

The post Ekosistem data jalan raya nasional bakal diwujudkan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved