Eksesais Keris Strike tingkatkan hubungan pertahanan Malaysia dan Amerika Syarikat
zakisalleh
04/08/2023 - 10:53
KUALA LUMPUR 4 Ogos - Tentera Darat Malaysia meneruskan hubungan ketenteraan bersama pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) menerusi pelaksanaan Eksesais Keris Strike kali ke-28.
Eksesais itu disertai 1,100 pegawai dan anggota Briged Ke-8 Infantri Tentera Darat serta pasukan sokongan dan 1-5 IN BN, United States Army Pacific Command (USARPAC).
USARPAC merupakan satu ketumbukan besar dalam struktur tentera darat AS yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan di rantau Asia Pasifik serta serantau.
Ini termasuk terlibat dalam pelbagai siri latihan bersama angkatan tentera negara-negara sahabat.


Dalam siri kali ini, eksesais dilaksanakan dalam bentuk Command Post Exercise (CPE) dan Field Training Exercise (FTX) yang menumpukan pada teknik peperangan konvensional.
Eksesais Keris Strike merupakan antara latihan bilateral Malaysia dan AS yang telah dimulakan sejak tahun 1996.
Matlamat serta objektif latihan ini tidak berubah semenjak ia kali pertama dilaksanakan yang bertujuan meningkatkan daya saling operasi dan kesiagaan tempur.
Selain itu, eksesais ini akan meningkatkan keupayaan kedua-dua pasukan tentera menerusi perkongsian kemahiran yang dimiliki.


Ia merangkumi pelbagai jenis latihan yang menjadi medan perkongsian ilmu dan pengalaman antara kedua-dua pasukan tentera.
Eksesais ini merupakan manifestasi dan gambaran hubungan rapat dari sudut ketenteraan dan kerjasama kedua-dua pasukan tentera yang telah terjalin sekian lama.
Eksesais Keris Strike Siri 28/2023 yang berlangsung selama dua minggu bermula di Kota Bharu, Kelantan meliputi latihan peringkat kem serta pelaksanaan beberapa program kemasyarakatan.
Kemuncak eksesais FTX ialah fasa serangan di Kampung Lubuk Lesung, Kemaman, Terengganu.

Sepanjang eksesais ini, senario pelaksanaan atur gerak ofensif fasa mara dan serangan telah dilaksanakan untuk menguji tahap kecekapan dan pengetahuan kedua-dua pihak.
Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim telah menyaksikan menyaksikan eksesais fasa serangan tersebut
Turut hadir Panglima 2 Divisyen, Mej Jen Dato' Pahlawan Muhammad Huzaimi Sabri dan 11th Airborne Division Commanding General, Mej Jen Brian S. Eifler.
Dalam pada itu, bersempena dengan eksesais ini juga, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman telah menerima kunjungan hormat Commanding General USARPAC, Jen Charles A. Flynn di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur.

Kunjungan hormat ini bertujuan untuk meningkatkan hubungan bilateral antara kedua-dua angkatan serta dengan pelaksanaan Eksesais Keris Strike Siri 28/2023.
Hubungan bilateral ini penting dalam perkongsian pengetahuan bagi memastikan warga Tentera Darat sentiasa bersiap sedia dari aspek latihan dan pengalaman bertempur di medan perang. - DagangNews.com



