Hypershell, syarikat dari Shanghai kini membawa teknologi eksorangka mereka ke pasaran Malaysia menerusi tiga model berbeza iaitu Hypershell Go X, X Pro dan Carbon X. Ketiga-tiga model ini direka dengan sistem gerakan pintar berasaskan AI yang mampu memberi sokongan tambahan semasa aktiviti fizikal seperti berjalan, berlari dan mendaki.

Eksorangka ini menawarkan kuasa mekanikal sehingga satu kuasa kuda menjadikannya pilihan ideal untuk mereka yang aktif dan mencari bantuan fizikal secara responsif. Teknologi ini menggabungkan kecekapan dan reka bentuk ergonomik untuk meningkatkan daya tahan serta kelajuan pergerakan pengguna secara semula jadi.


Ketiga-tiga model eksorangka Hypershell dilengkapi sistem M-One Motor terbina yang mampu menjana bantuan kuasa sehingga 800W. Keupayaan ini membolehkan peranti beroperasi secara berterusan dalam pelbagai aktiviti lasak sama ada berjalan kaki, mendaki atau berlari.
Dengan berat keseluruhan sekitar 2.4-kilogram termasuk bateri, eksorangka Hypershell menawarkan keseimbangan ideal antara prestasi kuasa dan kecekapan pergerakan. Setiap unit dilengkapi dengan bateri berkapasiti 72Wh yang mampu menyokong operasi sehingga 17.5-kilometer serta menyokong pengecasan pantas 65W untuk pengisian semula yang efisien.

Hypershell melengkapkan lagi eksorangka mereka dengan teknologi MotionEngine yang menggunakan gabungan sensor gerakan dan algoritma pintar untuk memberikan bantuan berasaskan pergerakan tubuh secara langsung. Dengan masa respons sepantas 0.03 saat, ia dapat menyesuaikan tahap sokongan secara menyeluruh mengikut corak penggunaan sebenar.
Setiap unit direka untuk tahan lasak dengan penarafan IP54 yang menjadikannya kalis habuk dan percikan air serta boleh berfungsi dalam suhu melampau. Menambah keselesaan, Hypershell turut memperkenalkan AeroFlex Softsuit dengan material ringan dan kalis air yang direka khusus untuk dipadankan dengan eksorangka berkenaan.

Bagi yang berminat, Hypershell Go X ditawarkan pada harga RM4,999 dan kini dijual pada harga promosi RM4,499 disertakan dengan satu unit bateri standard dan hab pengecas empat port. Model X Pro pula dijual pada harga RM5,499 berbanding harga asal RM5,999 dan disertakan dengan bateri anti-sejuk serta hab pengecas empat port. Bagi model paling premium iaitu Carbon X, ia ditawarkan pada harga promosi RM7,999 berbanding harga asalnya RM8,499 namun tidak disertakan dengan sebarang hadiah percuma.
HyperShell turut menawarkan beberapa aksesori tambahan seperti bateri standard berharga RM499, bateri anti-sejuk pada RM599 dan hab pengecas empat port berharga RM299. Untuk sokongan tambahan, pengguna boleh mendapatkan Kit Tali Pinggang Nylon pada harga RM699 atau Kit Tali Pinggang Gore-Tex pada harga RM899.

