Eksperimentasi jejaka kerabat diraja Kashfi Zulkufli

Men's Fashion
14 Sep 2026 • 11:11 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Eksperimentasi jejaka kerabat diraja Kashfi Zulkufli

SEBUAH busana yang bukan sekadar dipakai tetapi mampu bercerita merupakan suatu elemen istimewa dalam dunia fesyen.

Kisah tentang masa lalu, identiti yang terus dipertahankan dan sebuah perjalanan yang akhirnya menemukan makna lebih besar mampu memberi impak buat sebuah koleksi dan rekaan.

Begitulah kisah seorang pereka fesyen, Kashfi Zulkufli selepas lebih sedekad dalam dunia fesyen, kini tidak lagi hanya mengejar pentas, tetapi sedang membina sesuatu yang jauh lebih besar iaitu sebuah legasi.

Selepas 14 tahun berkarya, nama Kashfi Zulkufli hadir dengan bahasa fesyennya sendiri. Tajam, berkarakter dan sarat dengan penghargaan terhadap seni tradisi, namun tidak pernah takut untuk bergerak seiring zaman.

Menurutnya, setiap potongan dan perincian pada busana seakan menjadi dialog antara masa lalu dan masa kini, memperlihatkan bahawa warisan tidak semestinya tampil dalam bentuk yang konservatif tetapi ia boleh diberi nafas baharu dan dipersembahkan dengan aura moden yang memikat.

“Semangat itu diterjemahkan menerusi Satu Legasi, sebuah produksi fesyen teater yang dipersembahkan sempena The Kuala Lumpur Men’s Fashion Week (TKLMFW) 2026.

“Namun, Satu Legasi bukan sekadar pertunjukan untuk mempamerkan koleksi terbaharu.

Ia adalah sebuah perjalanan emosi, sebuah pentas yang mengajak khalayak menelusuri kembali perjalanan Kashfi dalam dunia fesyen selama lebih sedekad,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa baru-baru ini.

Image from: Eksperimentasi jejaka kerabat diraja Kashfi Zulkufli
Rekaan-rekaan busana dihasilkan Kashfi Zulkufli menggambarkan perkembangannya sebagai seorang pereka fesyen berjaya.

Tambahnya, konsep ‘Satu Pentas. Satu Rasa. Satu Legasi’ menjadi nadi kepada persembahan yang meraikan bukan sahaja busana, tetapi manusia dan cerita di sebaliknya.

Dalam pertunjukan tersebut, sebanyak 28 koleksi baharu pakaian lelaki diperkenalkan, masing-masing membawa identiti dan naratif tersendiri.

Daripada penggunaan fabrik baldu mewah, siluet yang berstruktur kepada perincian kemasan kemasan jalur timbul (piping), sulaman emas dan perak yang halus, koleksi tersebut memperlihatkan keberanian Kashfi bereksperimentasi sambil menghidupkan elemen The God Father untuk TKLMFW 2026.

Warisan dalam elemen kerabat diraja juga menjadi sumber ilham, manakala sentuhan kontemporari memberikan busana itu nafas yang lebih segar dan relevan.

Pemilihan warna, hijau zamrud, ungu, biru diraja, oren warna yang terang dan kuat turut menggambarkan bahawa elemen mewah tidak terletak pada satu rona sahaja.

Kongsi Kashfi lagi, di sinilah kekuatannya sebagai seorang pereka terserlah.

Dia tidak sekadar melihat tradisi sebagai sesuatu yang perlu dipelihara di dalam muzium atau diulang dalam bentuk yang sama.

Sebaliknya, tradisi diangkat sebagai sesuatu yang boleh bergerak, berubah dan berkembang.

Image from: Eksperimentasi jejaka kerabat diraja Kashfi Zulkufli

Fabrik, potongan, tekstur serta kemahiran pertukangan disatukan untuk menghasilkan sebuah estetika yang terasa mewah tanpa kehilangan jiwa asalnya.

“Di sebalik gemerlapan pentas dan keindahan busana, ada satu perkara yang lebih dekat dengan hati saya iaitu pasukan yang berdiri bersamanya sepanjang perjalanan.

“Bagi saya, nama Kashfi Zulkufli bukan sekadar milik seorang pereka. Ia adalah hasil tenaga, kesetiaan dan kreativiti sekumpulan individu yang bekerja di belakang tabir untuk menghidupkan setiap idea menjadi realiti,” ujarnya.

Katanya lagi, pemahaman tentang legasi itu menjadikan visinya lebih besar. Dia mahu membina sebuah jenama yang tidak berakhir apabila figura pengasasnya tidak lagi menjadi tumpuan utama.

Sebaliknya, jenama itu harus mempunyai identiti dan kekuatan sendiri, mampu berdiri, berkembang dan diwarisi oleh generasi seterusnya.

Maka, legasi bagi Kashfi bukan sekadar tentang meninggalkan nama. Ia tentang membuka pintu untuk mereka yang datang selepasnya. Ruang untuk pereka muda mencuba, bereksperimen dan menemukan suara mereka sendiri.

Dalam sebuah industri yang sentiasa berubah, legasi paling indah mungkin bukan apabila seseorang dikenang sebagai yang terbaik tetapi apabila karya dan perjuangannya memberi peluang kepada orang lain untuk meneruskan cerita.

Impian itu turut diterjemahkan menerusi hasrat mengembangkan jenama ke pasaran serantau termasuk Johor Bahru, Singapura dan Brunei.

Ia bukan sekadar langkah komersial, tetapi sebahagian daripada usaha membawa identiti dan estetika Kashfi Zulkufli melangkaui sempadan tempatan.

“Mungkin, pada akhirnya, itulah yang menjadikan Satu Legasi begitu bermakna.

“Ia bukan hanya tentang apa yang dipakai di atas pentas, tetapi tentang apa yang tinggal selepas tirai dilabuhkan.

“Ini kerana fesyen akan sentiasa berubah. Trend akan datang dan pergi tetapi sebuah cerita yang mempunyai jiwa akan terus hidup,” tambah Kashfi.

The post Eksperimentasi jejaka kerabat diraja Kashfi Zulkufli appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved