
BERMULA dengan menghasilkan rak kecil untuk meletakkan sayur di belakang rumah, siapa sangka minat seorang anak muda terhadap kerja pertukangan kayu akhirnya berkembang menjadi sebuah perusahaan yang mampu menjana pendapatan.
Itulah kisah Muhammad Asyraf Muhammad Amin dari Kampung Bendang, Ketereh, Kelantan yang membuktikan bahawa laluan pendidikan berasaskan kemahiran mampu membuka ruang luas kepada generasi muda untuk membina kerjaya sendiri.
Tidak memilih untuk bergantung sepenuhnya kepada pekerjaan makan gaji, dia yang mesra disapa Asyraf, 25, menggunakan kemahiran yang dipelajarinya dalam bidang
Teknologi Berasaskan Kayu untuk membangunkan perniagaan pertukangan kayu selepas menamatkan pengajian di sebuah politeknik pada tahun 2020.
Menurutnya, minat terhadap dunia pertukangan bukan sesuatu yang muncul secara tiba-tiba.
Sejak di bangku sekolah lagi, Asyraf sudah menunjukkan kecenderungan terhadap kerja yang membabitkan kayu, reka bentuk serta penghasilan produk menggunakan kemahiran tangan dan mesin.
Anak muda ini kemudiannya memperoleh Diploma Teknologi Berasaskan Kayu di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Shah Alam, Selangor sebelum menggunakan pengetahuan berkenaan sebagai asas untuk memulakan perniagaan sendiri.
“Pada peringkat awal, perjalanan itu tidaklah semudah yang disangka.
“Saya mulanya hanya menghasilkan rak dinding kecil untuk sayur-sayuran di belakang rumah di Kok Lanas, Kelantan sebelum menjual hasil kerja itu kepada penduduk sekitar.
“Daripada sebuah ruang kecil di belakang rumah, saya mula berfikir ia boleh ditukar kepada peluang bisnes lebih-lebih lagi selepas pelanggan mula mendapatkan khidmatnya,” katanya kepada K-Kampus.
Kini, Asyraf mengusahakan MA Land Resources Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan pertukangan kayu termasuk menghasilkan kabinet dapur, almari serta pelbagai produk perabot mengikut permintaan pelanggan.

Permintaan terhadap produk pertukangan kayu yang dihasilkan syarikat berkenaan turut menerima maklum balas positif dari seluruh Kelantan.
Lebih membanggakan, perniagaan itu bukan lagi sekadar usaha seorang anak muda untuk mencari pendapatan sendiri, malah dia berjaya mengembangkan operasi sehingga menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Tambah Asyraf, kejayaan syarikatnya sejak ditubuhkan hampir empat tahun itu turut diperkukuh menerusi bantuan dan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil
Perusahaan Getah (Risda) melalui inisiatif Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET).
Beritahunya, bapanya yang merupakan seorang pekebun kecil turut menerima bantuan AET daripada Risda untuk memulakan perniagaan, sekali gus membuka ruang kepada Asyraf mengembangkan bidang pertukangan kayu yang diminatinya.
“Sokongan dan bantuan pihak Risda amat membantu terutama ketika memulakan perniagaan pada peringkat awal.
“Bantuan berkenaan bukan sahaja membolehkan saya mengembangkan perniagaan, malah memberikan bimbingan untuk menjadikan kemahiran yang dimiliki sebagai sebuah aktiviti ekonomi yang lebih tersusun,” katanya.
Lebih manis, dia kini mampu meraih pendapatan enam angka sebulan hasil perniagaan pertukangan kayunya itu dengan dibantu 12 pekerja.
Pencapaian itu turut mendapat perhatian Pengerusi Risda, Manndzri Nasib ketika lawatan kerja meninjau projek usahawan AET baru-baru ini.
Jelas Asyraf, pengiktirafan dan kejayaan tersebut memperlihatkan bagaimana pendidikan kemahiran boleh menjadi jambatan antara pembelajaran dengan dunia pekerjaan dan keusahawanan sebenar.
Baginya, kemahiran yang dipelajari di kampus sebelum ini bukan sekadar memberikan kelayakan akademik, sebaliknya membolehkannya memahami bahan, mengendalikan mesin, mereka bentuk produk serta menghasilkan perabot mengikut kehendak pelanggan.
Lebih penting, kejayaan itu dibina secara berperingkat dan bukan datang dengan tiba-tiba.
“Daripada sekeping kayu yang dipotong dan dibentuk di ruang kecil di belakang rumah, lahir produk yang mempunyai nilai komersial.
“Saya juga sudah buktikan kemahiran teknikal yang dimiliki boleh dijadikan modal untuk seseorang mencipta pekerjaan, membangunkan perniagaan dan membuka peluang kepada orang lain,” ujarnya.
Tambahnya, dengan minat, latihan yang tepat, kemahiran teknikal serta keberanian mengambil peluang, lulusan kemahiran juga mampu mencipta laluan kerjaya sendiri tanpa perlu menunggu peluang pekerjaan datang kepada mereka.
The post Asyraf berjaya sebagai usahawan pertukangan appeared first on Kosmo Digital.



