PASIR MAS – TVETMARA Pasir Mas mengambil pendekatan baharu dalam melahirkan graduan berdaya saing apabila menekankan pembangunan kemahiran insaniah dan kepimpinan menerusi program Eksplorasi Sinar Daily x Sinar Varsity.
Pengarah TVETMARA Pasir Mas, Ir Supardi Amaludin berkata, keperluan industri masa kini tidak lagi tertumpu kepada pencapaian akademik dan kemahiran teknikal semata-mata, sebaliknya turut menilai keupayaan bekerja dalam pasukan serta keyakinan diri.
Menurut beliau, penganjuran program berkonsepkan pembelajaran luar bilik kuliah itu dilihat sebagai platform terbaik membentuk sahsiah pelajar secara menyeluruh.
"Apabila pelajar keluar daripada suasana biasa, mereka lebih berani mencuba dan mampu membina keyakinan diri.
"Ini selari dengan kehendak industri yang mahu tenaga kerja memiliki kemahiran teknikal serta kemahiran insaniah," katanya ketika ditemui pada program Eksplorasi Sinar Daily x Sinar Varsity yang diadakan di TVETMARA Pasir Mas di sini pada Rabu.
**media[3500610]**
Program berkenaan melibatkan 60 peserta terpilih yang perlu melalui sembilan checkpoint merangkumi cabaran fizikal, mental dan tugasan berkumpulan.
Supardi berkata, antara elemen paling penting yang diterapkan sepanjang program ialah literasi media, pemikiran kritikal serta kebolehan membuat keputusan dalam tempoh singkat.
Ujarnya, situasi itu memberi pengalaman sebenar kepada pelajar berdepan tekanan kerja seperti di alam pekerjaan kelak.
"Dalam kelas, pelajar belajar teori dan kemahiran teknikal, namun di sini mereka belajar menyelesaikan masalah, berunding dan membuat keputusan bersama.
"Itulah cabaran sebenar yang akan mereka tempuhi apabila memasuki industri nanti," tambahnya.
Menurut beliau, pemilihan peserta turut dibuat secara silang disiplin dengan menggabungkan pelajar daripada bidang mekanikal, awam, elektrikal dan seni bina dalam satu kumpulan.
**media[3500611]**
Jelasnya, langkah itu penting kerana landskap pekerjaan sebenar memerlukan semua bidang bekerjasama bagi menghasilkan keputusan terbaik.
"Di tempat kerja, jurutera, juruteknik dan pelbagai kepakaran lain perlu duduk semeja serta bertukar idea. Sebab itu kita latih mereka dari sekarang," katanya.
Mengulas lanjut mengenai program itu, Supardi berkata, sambutan peserta amat memberangsangkan apabila rata-rata menunjukkan keterujaan dan semangat tinggi sepanjang aktiviti berlangsung.
Menurut beliau, kejayaan sebenar program bukan diukur pada kemenangan semata-mata, sebaliknya perubahan sikap, disiplin dan semangat kepimpinan dalam kalangan peserta.
Katanya, TVETMARA Pasir Mas berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan termasuk melalui kerjasama strategik bersama agensi media.
Dalam masa yang sama beliau memberitahu, ini merupakan kali pertama pihaknya bekerjasama dengan media dan impaknya sangat positif.
"Kami mahu lahirkan graduan yang bukan sahaja mahir bekerja, tetapi mampu memimpin, berkomunikasi dan mempunyai nilai tambah tinggi untuk pasaran kerja," katanya.
**media[3500612]**
Sementara itu, Eksekutif Kanan Pemasaran, Hazwan Shaharuddin berkata, penganjuran Eksplorasi TVETMARA bersama Sinar Daily dan Sinar Varsity menjadi platform memperkukuh literasi media dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) melalui pendekatan santai dan interaktif.
Menurut beliau, program itu bertujuan memberi pendedahan sebenar mengenai dunia media termasuk cara isu semasa dilaporkan, proses liputan berita serta tanggungjawab pengamal media.
Ujarnya, pemilihan TVETMARA sebagai lokasi program selari dengan fokus baharu mereka untuk mendekati golongan mahasiswa dan pelajar IPT yang merupakan pengguna aktif media digital masa kini.
Hazwan memberitahu, antara cabaran disediakan ialah peserta perlu membezakan berita sahih dan berita palsu di setiap checkpoint, selain menguji keupayaan membuat keputusan pantas, kepimpinan serta kerjasama berpasukan.
"Program ini bukan sahaja berkenaan media, malah turut melibatkan tugasan fizikal yang menguji stamina peserta. Kita mahu lahirkan generasi muda yang celik media, kritis dan bijak menilai maklumat," katanya.
