liza19/10/2026 - 10:52 KPK akan memperkukuh keseluruhan industri koko, bermula daripada pekebun yang menanam sehinggalah kepada usahawan yang menghasilkan produk untuk pasaran tempatan dan antarabangsa Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Okt – Nilai eksport biji koko dan produk berasaskan koko Malaysia meningkat 21.7% kepada RM18.33 bilion pada 2025 berbanding RM15.06 bilion pada tahun sebelumnya, mencerminkan perkembangan positif industri koko negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata perkembangan itu seiring usaha kerajaan memperkukuh pengeluaran koko tempatan serta membangunkan Sistem Kebolehkesanan Koko Kebangsaan bagi meningkatkan daya saing industri dan memenuhi keperluan pasaran antarabangsa.
“Data ini adalah satu indikator positif mengenai industri pemprosesan koko Malaysia yang terus berkembang dan menyumbang nilai eksport besar kepada negara.
“Pada masa yang sama, pengeluaran tempatan perlu terus dipertingkatkan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan luar negara.
“Oleh itu, KPK akan memperkukuh keseluruhan industri koko, bermula daripada pekebun yang menanam sehinggalah kepada usahawan yang menghasilkan produk untuk pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan A Malaysian Cocoa Affair 2026 anjuran Lembaga Koko Malaysia (LKM) bertemakan “Sense, Savour and Celebrate” di Melaka.
Lebih RM40 juta untuk produk koko bernilai tinggi
Menerusi Belanjawan 2027, lebih RM40 juta diperuntukkan bagi menyokong pembangunan produk koko bernilai tinggi berasaskan teknologi moden, termasuk penghasilan coklat premium menggunakan kaedah ‘bean-to-bar’.
Noraini berkata inisiatif itu membuka peluang kepada usahawan tempatan meningkatkan kualiti produk, memperkukuh jenama serta memperluas akses ke pasaran global menerusi penghasilan coklat premium.
Kaedah itu merujuk kepada proses penghasilan coklat yang bermula daripada biji koko sehingga menjadi produk coklat siap, sekali gus membolehkan pengeluar mengawal proses pembuatan dan kualiti produk.
Dalam pada itu, Noraini turut menggalakkan golongan muda meneroka peluang kerjaya dan perniagaan dalam industri koko merangkumi pembuatan coklat, pembangunan reka bentuk produk, pemasaran, penyelidikan serta keusahawanan sebagai sebahagian daripada usaha memastikan pertumbuhan sektor itu dapat diteruskan pada masa hadapan.
Promosi produk usahawan koko tempatan
Sementara itu, A Malaysian Cocoa Affair 2026 berlangsung selama tiga hari dengan menampilkan 24 reruai pameran dan jualan bagi mengetengahkan keunikan coklat tempatan serta kepelbagaian produk keluaran usahawan koko negara.
Program itu turut menyediakan bengkel pembuatan coklat dan demonstrasi pemprosesan koko bagi memberi peluang kepada orang ramai mengenali proses penghasilan produk koko serta meneroka kepelbagaian produk tempatan. - DagangNews.com





