Eksport makanan laut Jepun ke Malaysia melonjak 40% kepada RM130 juta dalam lapan bulan

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 10:28 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Eksport makanan laut Jepun ke Malaysia melonjak 40% kepada RM130 juta dalam lapan bulan Image from: Eksport makanan laut Jepun ke Malaysia melonjak 40% kepada RM130 juta dalam lapan bulan sarah27/10/2026 - 10:28 Orang ramai merasa makanan pada pameran Japanese Seafood B2B Trade Meeting pada Isnin. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR 27 Okt - Eksport makanan laut Jepun ke Malaysia melonjak kira-kira 40% kepada 5 bilion yen (RM130 juta) bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, didorong peningkatan permintaan terhadap produk premium serta minat rakyat Malaysia terhadap masakan Jepun.

 

Naib Presiden Eksekutif Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO), Kenichi Hirano berkata, pertumbuhan itu turut disokong peningkatan kuasa beli pengguna, permintaan terhadap makanan berkualiti tinggi serta penerimaan yang semakin meluas terhadap budaya makanan Jepun dalam kalangan rakyat Malaysia.

 

“Antara Januari hingga Ogos 2026, eksport makanan laut Jepun ke Malaysia meningkat kira-kira 40% kepada sekitar 5 bilion yen berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya ketika berucap pada program Japanese Seafood B2B Trade Meeting di sini pada Isnin.

 

Menurut Hirano, Malaysia kekal antara pasaran paling berpotensi di ASEAN bagi eksport makanan Jepun, disokong minat pengguna tempatan terhadap makanan dan budaya negara itu serta peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang melancong ke Jepun.

 

Beliau berkata, JETRO turut melihat peluang untuk memperluas pasaran makanan laut Jepun melangkaui restoran Jepun, khususnya kepada lebih banyak pengusaha perkhidmatan makanan dan restoran tempatan.

 

“Malaysia menonjol dalam kalangan pasaran ASEAN kerana minat pengguna yang tinggi terhadap makanan dan budaya Jepun,” katanya kepada Bernama di luar program berkenaan.


 

Japanese Seafood B2B Trade Meeting di
Kenichi Hirano

 


Program itu menghimpunkan pengedar makanan laut Jepun dan pengusaha perkhidmatan makanan tempatan bagi membuka peluang padanan perniagaan, membina rangkaian perdagangan serta mengukuhkan hubungan antara pembekal Jepun dengan pembeli Malaysia.

 

Bagi memperluas akses pasaran, Hirano berkata, JETRO akan terus membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Jepun menyertai pameran berkaitan makanan, program padanan perniagaan dan sesi rangkaian perdagangan bagi menghubungkan pengeksport negara itu dengan pembeli tempatan.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, penyusutan nilai yen berpotensi meningkatkan daya saing harga produk makanan Jepun di pasaran antarabangsa, sekali gus membuka peluang kepada pengeksport untuk menarik lebih ramai pembeli.

 

Bagaimanapun, Hirano menegaskan kadar pertukaran mata wang bukan satu-satunya faktor yang mempengaruhi keputusan pembelian kerana aspek kualiti, keselamatan makanan, keaslian produk, rasa serta kesesuaian untuk penyediaan hidangan kekal menjadi pertimbangan utama pengusaha restoran dan pengguna.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved