Eksport Malaysia meningkat 6.8% kepada RM140.45 bilion dipacu sektor E&E - MITI

LocalBusiness & Finance
19 Aug 2025 • 3:31 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Eksport Malaysia meningkat 6.8% kepada RM140.45 bilion dipacu sektor E&E - MITI

image is not available

19/08/2025 - 15:31

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Lonjakan dalam eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) telah mendorong pemulihan eksport Malaysia dan mengembalikan pertumbuhan perdagangan ke paras positif pada Julai, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

MITI berkata, berdasarkan statistik perdagangan terkini kementerian, peningkatan perdagangan dengan rakan dagang di ASEAN dan China adalah faktor utama kepada kenaikan keseluruhan perdagangan, terutamanya disokong oleh peningkatan permintaan eksport bagi produk E&E.

“Namun, perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) merosot 7.6% tahun ke tahun (YoY) berikutan kemerosotan 22.2% dalam import dari negara itu kepada RM10.88 bilion.

“Perdagangan keseluruhan Malaysia pada Julai meningkat semula 3.8% YoY kepada RM265.92 bilion, sekali gus merekodkan nilai perdagangan bulanan tertinggi dalam sejarah.

“Eksport pada bulan tersebut meningkat 6.8% kepada RM140.45 bilion, manakala import mencatat kenaikan marginal 0.6% kepada RM125.47 bilion,” menurut MITI.

Selain itu, lebihan dagangan pada Julai diteruskan buat bulan ke-63 berturut-turut dengan nilai RM14.98 bilion.

Pertumbuhan eksport didorong oleh penghantaran produk pembuatan yang meningkat semula 9% YoY kepada RM122.14 bilion.

Produk E&E mencatatkan peningkatan terbesar, berkembang 22.5% YoY kepada RM63.31 bilion.

MITI berkata, selain produk optik dan saintifik serta makanan terproses, produk E&E kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan eksport negara.

“Bagaimanapun, eksport barangan pertanian menurun 8.6% YoY kepada RM9.19 bilion disebabkan pengurangan volum penghantaran minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit.

“Eksport barangan perlombongan turut susut 4.3% kepada RM8.06 bilion berikutan harga eksport lebih rendah bagi gas asli cecair (LNG),” kata MITI.

Dari segi import, data menunjukkan peningkatan marginal dalam nilai import pada Julai dipacu oleh lonjakan 20.6% dalam penghantaran barangan modal yang bernilai RM18.19 bilion.

MITI berkata, import barangan perantaraan menurun 17.8% berikutan pengurangan import bahagian dan aksesori barangan modal bukan pengangkutan, manakala import barangan pengguna menyusut 5% akibat pengurangan import barangan tidak tahan lama.

“Prestasi perdagangan Malaysia yang memberangsangkan dalam tujuh bulan pertama 2025 dicapai di tengah-tengah prospek perdagangan global yang menunjukkan pemulihan secara berhati-hati.

“Bagi tempoh Januari hingga Julai, nilai perdagangan, eksport dan import Malaysia berada pada paras tertinggi dalam sejarah.

“Secara kumulatif, perdagangan Malaysia meningkat 4.7% kepada RM1.731 trilion YoY. Eksport berkembang 4.3% kepada RM900.47 bilion manakala import naik 5.1% kepada RM830.15 bilion, sekali gus mencatatkan lebihan dagangan RM70.32 bilion,” kata MITI. - DagangNews.com

standard