11 firma broker saran 'jual' saham PetChem ekoran sektor petrokimia kekal mencabar

19/08/2025 - 09:42
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 19 Ogos – Petronas Chemicals Group Bhd (PetChem) mencatatkan kerugian bersih RM1.08 bilion bagi suku kedua tahun kewangan 2025 (2Q25), berbanding keuntungan bersih RM777 juta pada tempoh sama tahun lalu, ekoran gangguan operasi dalaman dan luaran.
Syarikat subsidiari Petroliam Nasional Bhd (Petronas) itu turut berdepan tekanan daripada ketegangan geopolitik di Timur Tengah serta pengumuman tarif yang menjejaskan harga minyak mentah dan melemahkan dolar Amerika Syarikat.
Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) merosot 56% kepada RM396 juta.
Selain itu, kumpulan turut merekodkan kerugian pengukuran semula berikutan pelarasan masa pembayaran pemiutang perdagangan serta rosot nilai aset di Perstorp Holding AB, Sweden.
Kerugian turut dipengaruhi oleh kerugian tukaran asing belum direalisasi daripada penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada operasi bersama, selain peningkatan susut nilai dan kos kewangan berkaitan entiti tersebut.
Hasil PetChem susut hampir 17% tahun ke tahun kepada RM6.43 bilion daripada RM7.72 bilion sebelumnya, dipengaruhi oleh pengurangan volum jualan dan harga purata produk.
Syarikat turut mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 3 sen sesaham berjumlah RM240 juta, yang akan dibayar pada 10 September depan.
Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 (1H25), hasil merosot 7% kepada RM14.09 bilion berbanding tahun lalu, manakala kerugian bersih direkodkan sebanyak RM1.09 bilion, sebahagian besarnya disebabkan faktor sama yang menjejaskan prestasi suku tahunan.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PetChem, Mazuin Ismail berkata, prestasi tersebut mencerminkan cabaran operasi dalaman dan luaran yang memberi kesan kepada kecekapan loji.
Menurutnya, pasaran komoditi kekal mencabar berikutan lebihan bekalan serta ketegangan geopolitik dan perdagangan global yang berterusan.
“Namun, permintaan terus meningkat khususnya di Asia, dipacu pertumbuhan populasi dan urbanisasi.
“Kemudahan Pengerang yang dibina untuk menyokong pertumbuhan ini kini sedang beroperasi bagi memenuhi ujian kebolehpercayaan pemiutang menjelang akhir tahun,” katanya.
Selepas mengumumkan keputusan separuh tahun pada 13 Ogos lalu, saham PetChem jatuh 9% atau 36 sen kepada RM3.60 tetapi ditutup 4 sen lebih tinggi pada RM3.64 keesokan harinya, sebelum menamatkan minggu pada RM3.56.
Konsensus harga sasaran 52 minggu terkini ialah RM3.35, dengan tiga saranan ‘Beli’, tujuh ‘Pegang’ dan 11 ‘Jual’.
Maybank Investment Bank Bhd dalam nota kajiannya bertarikh 14 Ogos menyatakan kerugian bersih teras PetChem sejajar dengan jangkaannya kerana ia mencatat susut nilai bukan tunai ke atas Perstorp sebanyak RM431 juta pada suku berkenaan.
“Kami menganggap keputusan ini secara keseluruhan masih dalam jangkaan kami dan konsensus, memandangkan keuntungan PetChem dijangka lebih banyak disumbang pada 2H25.
“Kami percaya 2Q25 sepatutnya yang paling buruk bagi PetChem dari segi keuntungan kerana syarikat kini sudah kembali beroperasi,” kata firma penyelidikan itu dan mengekalkan saranan ‘Jual’ dengan harga sasaran RM2.59.
Sementara itu, HLIB Research menilai kerugian bersih teras PetChem berada di bawah unjuran mereka serta pasaran tidak termasuk item sekali sahaja iaitu kerugian rosot nilai aset RM431 juta, kerugian tukaran asing belum direalisasi RM446 juta serta hapus kira dan susut nilai inventori RM121 juta.
“PetChem sebenarnya merekodkan kerugian bersih teras RM83 juta dalam 2Q25, berbanding keuntungan RM445 juta pada 2Q24 dan RM79 juta pada 1Q25.
“Namun, kami berpendapat PetChem akan terus beroperasi dalam persekitaran lebihan penawaran, dengan permintaan hiliran yang lembap dijangka mengekalkan tekanan terhadap harga etilena.
“Kami menjangka sektor petrokimia kekal mencabar kerana peluasan kapasiti secara agresif oleh China, ditambah pula dengan unjuran permintaan hiliran yang lembap,” katanya.
HLIB Research mengekalkan saranan ‘Jual’ dengan harga sasaran yang diturunkan kepada RM2.18 daripada RM2.50.
Selain itu, MBSB Investment Bank Bhd turut mengekalkan saranan ‘Jual’ dengan harga sasaran RM3.01, sambil menegaskan PetChem kekal fokus terhadap kadar penggunaan loji tinggi bagi mengurangkan tekanan luaran.
“Kami percaya PetChem akan terus bergantung pada kecekapan operasinya untuk menghadapi cabaran harga lembut dan ketidakpastian permintaan,” menurut unit penyelidikan MBSB dalam nota kajiannya.
Dalam pada itu, CIMB Securities Sdn Bhd pula mengekalkan saranan ‘Pegang’ dengan harga sasaran RM3.45, sedikit rendah daripada RM3.53 sebelumnya.
Ia menjangkakan pemulihan ketara pada separuh kedua 2025 berikutan normalisasi operasi dan ketiadaan gangguan luar jangka besar, namun memberi amaran sentimen global yang lemah serta pengumuman tarif baharu AS berpotensi mengekang permintaan petrokimia di pasaran eksport utama.- DagangNews.com
featured standard
