
KUANTAN: Pahang merekodkan nilai eksport sebanyak RM10.95 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, ketika ketidaktentuan geopolitik global memberi cabaran kepada perdagangan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Abu Bakar Yusof berkata, walaupun prestasi eksport sedikit sederhana, perkembangan itu tidak menjejaskan potensi ekonomi Pahang yang masih mempunyai ruang untuk berkembang menerusi kepelbagaian sektor dan penerokaan pasaran baharu.
“Kekuatan asas ekonomi Pahang perlu dimanfaatkan bagi memperkukuh daya saing produk tempatan dan meningkatkan penyertaan syarikat negeri itu dalam perdagangan antarabangsa. Prestasi eksport Pahang menunjukkan perkembangan positif dalam tempoh sedekad apabila meningkat daripada RM17.31 bilion pada 2015 kepada RM22.38 bilion pada 2025, iaitu pertambahan RM5.07 bilion atau 29.3 peratus.
“Pencapaian itu meletakkan Pahang pada kedudukan keenam tertinggi penyumbang eksport negara pada tahun lalu, dengan sumbangan sebanyak 1.4 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia.
“Dalam pada itu, Pahang merekodkan jumlah perdagangan sebanyak RM38.46 bilion pada 2025, bersamaan 1.3 peratus daripada keseluruhan perdagangan negara, sekali gus meletakkan negeri itu pada kedudukan ketujuh tertinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Eksport Pahang 2026 di Hotel Grand Darul Makmur di sini hari ini.
Abu Bakar berkata, potensi pertumbuhan eksport Pahang turut dapat dilihat menerusi prestasi beberapa sektor bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Eksport jentera dan kelengkapan pengangkutan melonjak 412.8 peratus, manakala bahan api dan pelincir meningkat 47.9 peratus serta produk makanan berkembang 15.8 peratus.
“Kepelbagaian aktiviti ekonomi mengikut daerah juga menjadi kekuatan Pahang, termasuk sektor perkhidmatan, perdagangan, logistik dan petrokimia di Kuantan, pelancongan serta agromakanan di Bentong, durian premium di Raub dan industri automotif di Pekan,” katanya.
Beliau berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang mencapai RM71 bilion pada 2025, menyediakan asas ekonomi untuk meningkatkan nilai tambah produk tempatan dan memperluas penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam pasaran eksport. – UTUSAN
The post Eksport Pahang catat RM10.95 bilion dalam lapan bulan appeared first on Utusan Malaysia.






