Eksport Pahang cecah RM10.95 bilion bagi tempoh Januari-Ogos 2026

LocalBusiness & Finance
26 Oct 2026 • 5:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Eksport Pahang cecah RM10.95 bilion bagi tempoh Januari-Ogos 2026 Image from: Eksport Pahang cecah RM10.95 bilion bagi tempoh Januari-Ogos 2026 liza26/10/2026 - 17:15 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Okt – Pahang merekodkan eksport bernilai RM10.95 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 dengan kategori jentera dan kelengkapan pengangkutan mencatatkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 412.8% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Abu Bakar Yusof berkata, Pahang kekal berdaya tahan dengan disokong asas ekonomi yang baik serta prospek pertumbuhan yang memberangsangkan.

 

Beliau berkata, selain jentera dan kelengkapan pengangkutan, eksport bahan api dan pelincir turut meningkat 47.9%, manakala produk makanan berkembang 15.8% dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

 

“Perkembangan itu membuka ruang untuk Pahang memperluas asas eksportnya, di samping memberi peluang kepada lebih ramai usahawan tempatan menyertai perdagangan antarabangsa,” katanya.

 

Beliau berkata demikian di majlis perasmian Hari Eksport Pahang 2026 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohd Nizar Najib.

 

Kuantan kekal pemacu ekonomi negeri

Abu Bakar berkata, Kuantan terus menjadi antara pemacu utama ekonomi Pahang, disokong aktiviti dalam sektor perkhidmatan, perdagangan, logistik dan petrokimia.

 

Bagaimanapun, beliau berkata, setiap daerah di Pahang turut mempunyai kekuatan ekonomi tersendiri yang boleh dimanfaatkan untuk memperluas peluang perdagangan dan eksport.

 

Bentong, misalnya, menyumbang melalui sektor pelancongan dan agromakanan, manakala Temerloh terus berkembang menerusi aktiviti perdagangan dan akuakultur.

 

Cameron Highlands pula terkenal dengan pertanian tanah tinggi, sementara Raub mempunyai kelebihan dalam pengeluaran durian premium dan Pekan menerusi industri automotif.

 

Selain itu, aktiviti perladangan, perikanan dan ekopelancongan turut menyumbang kepada kepelbagaian ekonomi negeri berkenaan.

 

Produk tempatan perlu tembusi pasaran antarabangsa

Abu Bakar berkata, kekuatan ekonomi di setiap daerah boleh diterjemahkan kepada peluang eksport yang lebih luas menerusi usaha meningkatkan nilai produk tempatan dan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 

“Pengusaha tempatan juga perlu dihubungkan dengan pembeli antarabangsa bagi membuka lebih banyak ruang untuk produk keluaran Pahang memasuki pasaran luar negara.

 

“Usaha itu penting bagi membolehkan lebih ramai usahawan tempatan mengambil bahagian dalam perdagangan antarabangsa, selain memanfaatkan pertumbuhan eksport yang direkodkan dalam beberapa kategori utama,” katanya.

 

Sehubungan itu, kekuatan sektor ekonomi di setiap daerah boleh menjadi asas untuk memperluas penyertaan pengusaha tempatan dalam pasaran eksport, selaras dengan peluang yang dikenal pasti MATRADE. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved