
ALOR SETAR – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengunjungi taman rekreasi air terjun dan kawasan sungai sepanjang musim tengkujuh bagi mengelakkan risiko menjadi mangsa kepala air.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Bukhori Mat Sidik berkata, kepala air boleh berlaku secara tiba-tiba apabila hujan lebat melanda kawasan hulu sungai.
“Apabila berlaku hujan lebat, kita tidak dapat menjangka kemungkinan berlakunya kepala air, jadi saya nasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), fasa awal Monsun Timur Laut (MTL) kali ini dijangka menyaksikan tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan, termasuk di Kedah yang berpotensi mengakibatkan banjir.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan berisiko banjir diminta sentiasa peka terhadap amaran pihak berkuasa dan berpindah segera sekiranya paras air meningkat serta mengancam keselamatan.
“Jangan tunggu sehingga malam untuk berpindah kerana keadaan gelap boleh meningkatkan risiko keselamatan kepada mangsa dan anggota penyelamat. Penduduk juga perlu membawa dokumen penting, ubat-ubatan dan bekalan asas ketika berpindah,” ujarnya.
Katanya, APM bersama agensi pengurusan bencana negeri dan daerah sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana sepanjang tempoh MTL.
“APM Kedah mempunyai 556 aset darat dan air serta 927 anggota yang disediakan untuk menghadapi MTL kali ini.
“Secara keseluruhan, agensi tindak balas pengurusan bencana negeri mempunyai 6,041 aset darat dan air serta kekuatan seramai 3,658 anggota,” ujarnya.
Tambahnya, sebanyak 90 kawasan dikenal pasti sebagai lokasi berisiko banjir di Kedah, dengan tumpuan diberikan kepada Lembangan Sungai Kedah yang melibatkan daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang dan Pokok Sena serta Lembangan Sungai Muda yang merangkumi Kuala Muda, Baling, Sik dan Kulim. – KOSMO! ONLINE
The post Elak berkelah, mandi air terjun ketika musim tengkujuh appeared first on Kosmo Online.




