
SEKOLAH sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk pelajar menimba ilmu, membentuk sahsiah dan mengembangkan potensi diri. Namun, saban tahun masih berlaku insiden pelajar terjatuh dari bangunan sekolah sehingga mengakibatkan kecederaan serius, kecacatan kekal malah kehilangan nyawa.
Setiap kejadian bukan sekadar menambah statistik kemalangan, sebaliknya meninggalkan trauma kepada keluarga, warga sekolah dan masyarakat.
Justeru, langkah pencegahan yang lebih menyeluruh perlu dilaksanakan bagi mengelakkan tragedi berulang.
Antara punca utama ialah sikap segelintir pelajar yang memandang ringan aspek keselamatan. Ada yang berlari di koridor, bergurau secara kasar, memanjat pagar, duduk di atas tembok atau bersandar pada penghadang tangga.
Tindakan yang dianggap remeh itu boleh mengakibatkan kehilangan imbangan dan membawa kepada kemalangan dalam sekelip mata.
Pengaruh rakan sebaya turut menyumbang kepada masalah ini apabila ada pelajar sanggup melakukan aksi berbahaya demi membuktikan keberanian atau mendapatkan perhatian. Lebih membimbangkan, perbuatan tersebut kadangkala dirakam dan dimuat naik ke media sosial bagi meraih tontonan serta pengiktirafan.
Selain faktor sikap, keadaan fizikal bangunan sekolah juga perlu diberi perhatian. Penghadang tangga yang longgar, tingkap yang boleh dibuka terlalu luas, lantai licin dan kemudahan yang rosak meningkatkan risiko kemalangan jika tidak diselenggara secara berkala.
Pada masa sama, kelemahan pemantauan di kawasan tertentu seperti koridor tingkat atas, tangga dan laluan kecemasan membuka ruang kepada pelajar melakukan tindakan yang melanggar peraturan keselamatan.
Dalam sesetengah keadaan, tekanan emosi dan masalah psikologi turut mempengaruhi tingkah laku pelajar. Perubahan sikap seperti kemurungan, pengasingan diri atau hilang minat terhadap pembelajaran tidak boleh dipandang ringan.
Sekolah perlu memastikan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling mudah diakses supaya pelajar yang berdepan tekanan menerima bantuan pada peringkat awal.
Usaha pencegahan perlu bermula dengan membudayakan amalan keselamatan dalam kehidupan seharian di sekolah.
Guru hendaklah sentiasa mengingatkan pelajar supaya mematuhi peraturan, di samping menganjurkan ceramah, latihan kecemasan dan program kesedaran secara berkala.
Pada masa sama, pemeriksaan bangunan perlu dilakukan secara konsisten bagi memastikan semua kemudahan berada dalam keadaan selamat.
Pengawasan oleh guru bertugas, pengawas sekolah dan pengawal keselamatan juga wajar dipertingkatkan di kawasan berisiko tinggi, terutama ketika waktu rehat dan selepas sesi persekolahan.
Ibu bapa turut memainkan peranan penting dengan memupuk sikap berhati-hati sejak di rumah. Komunikasi yang baik membantu mengesan perubahan emosi anak-anak, sekali gus mengelakkan mereka daripada terlibat dalam perlakuan yang boleh mengancam keselamatan diri.
Dalam masa sama, pelajar perlu berani menegur rakan yang melakukan tindakan berbahaya serta segera melaporkan sebarang kerosakan atau risiko kepada pihak sekolah agar langkah pembaikan dapat diambil dengan segera. –UTUSAN
AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN
Pengurus Kanan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kumpulan Interflour
The post Elak pelajar jatuh bangunan sekolah appeared first on Utusan Malaysia.





