SHAH ALAM – Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu penternakan babi perlu dihormati dan dipatuhi semua pihak demi menjaga kepentingan rakyat serta kestabilan negeri.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pendirian Sultan Selangor itu mencerminkan kebijaksanaan dan keprihatinan Baginda dalam memastikan kelestarian alam sekitar, keselamatan sumber air serta keharmonian masyarakat terus terpelihara.
Menurutnya, titah tersebut juga selaras dengan prinsip pencegahan mudarat yang diiktiraf dalam pelbagai kerangka undang-undang berkaitan alam sekitar, kesihatan awam dan kesejahteraan masyarakat.
"Risiko pencemaran terhadap sumber air, tanah dan udara bukan sahaja memberi implikasi kepada alam sekitar, malah berpotensi menjejaskan hak dan kepentingan jutaan rakyat yang bergantung kepada bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Dalam masa sama, titah Baginda turut mengambil kira aspek kemampanan ekonomi, penggunaan tanah secara optimum serta keseimbangan antara keperluan industri dan kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini Sultan Sharafuddin dilapor kekal dengan pendirian tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di negeri ini sama ada berskala besar mahupun kecil susulan faktor kesesuaian guna tanah serta risiko alam sekitar yang boleh menjejaskan kepentingan awam.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, titah baginda itu kekal seperti yang telah ditegaskan menerusi kenyataan media bertarikh 10 Februari lalu berhubung isu penternakan babi di negeri ini.
Dalam pada itu Zainul Rijal menegaskan, titah Sultan Selangor tidak boleh disalah tafsir sebagai campur tangan yang bercanggah dengan prinsip Raja Berperlembagaan.
Jelas beliau, berdasarkan Bahagian 3 Perkara 50 Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor, autoriti eksekutif negeri terletak kepada Sultan dan boleh dilaksanakan Baginda atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengikut peruntukan undang-undang.
"Baginda mempunyai tanggungjawab perlembagaan untuk memastikan pentadbiran negeri berjalan dengan teratur, stabil dan mengambil kira kepentingan rakyat serta negeri secara keseluruhannya.
"Sebagai Ketua Negeri, Baginda bukan sahaja simbol perpaduan dan kedaulatan negeri, malah mempunyai peranan penting memastikan dasar dan tindakan kerajaan negeri sentiasa selaras dengan kepentingan awam serta kesejahteraan rakyat.
"Diharapkan agar semua pihak mengelakkan polemik yang boleh mencetuskan ketegangan atau keresahan awam dan memberikan kerjasama konstruktif demi menjamin kepentingan negeri serta kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya," katanya.






