Pahang sokong penuh titah Tengku Hassanal isu eksport pasir sungai

LocalPolitics
8 May 2026 • 8:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pahang sokong penuh titah Tengku Hassanal isu eksport pasir sungai
Wan Rosdy

KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang menyokong penuh titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah agar isu eksport pasir sungai perlu diteliti secara menyeluruh oleh kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu bukan sahaja mampu menambah hasil negeri, malah penting bagi pengurusan sungai dan pengurangan risiko banjir.

"Kerajaan negeri akan meneliti segala perkara yang dibangkitkan demi memastikan hak dan kepentingan negeri Pahang terus terpelihara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Wan Rosdy turut menjunjung kasih dan menyokong penuh titah Tengku Hassanal sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-lima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang.

"Titah Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku mencerminkan keprihatinan terhadap pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat," katanya.

Terdahulu, Tengku Hassanal menzahirkan kekecewaan terhadap keputusan kerajaan Pusat yang tidak meluluskan usaha negeri Pahang untuk menambah hasil negeri melalui eksport pasir sungai.

Baginda bertitah, Pahang memiliki sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia yang menyebabkan terdapat mendapan pasir yang perlu dikeluarkan bagi memastikan kelancaran aliran sungai serta mengelakkan risiko banjir.

"Sebelum ini, kita dapat menambahkan hasil negeri berpuluh-puluh juta dengan eksport pasir ke negara lain tetapi malangnya, kerajaan Pusat tidak lagi membenarkannya sekarang ini sedangkan hasil tanah dan pasir ini merupakan hak negeri," titah baginda lagi.