Telatah Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Malaysia baru-baru ini mencuri perhatian ramai. Selain gelagatnya yang mencuit hati, beliau turut menjadi tumpuan media apabila sering dilihat memberikan gula-gula atau manisan kepada wartawan yang membuat liputan.
Namun, di sebalik keperibadian bersahaja itu, kunjungannya ke Malaysia turut meninggalkan detik bersejarah apabila Timor-Leste secara rasmi diterima sebagai anggota baharu ASEAN.
Digelar sebagai ‘adik bongsu ASEAN’, penyertaan rasmi negara tersebut diumumkan pada 26 Oktober lalu dalam majlis di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Peristiwa bersejarah itu bukan sahaja mengundang rasa sebak buat Gusmao, malah rakyat Timor-Leste turut meraikan kepulangannya dengan penuh meriah.
Menerusi beberapa hantaran yang tular di media sosial, Gusmao diraikan sejak dalam penerbangan pulang apabila penumpang bersama-sama menyanyikan lagu “Together We Rise, Together We Shine.”
Setibanya di tanah air, beliau disambut dalam perarakan besar-besaran yang dihadiri ribuan rakyat jelata.
Ramai orang timor leste sanjungi PM mereka #asean2025 #xananagusmao
Baca juga:
Menariknya, bendera Malaysia turut dikibarkan oleh rakyat Timor-Leste sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan penerimaan rakyat Malaysia.
Di ruangan komen media sosial, rata-rata warga Timor-Leste dan Malaysia saling mengucapkan terima kasih dan tahniah atas hubungan persahabatan yang semakin erat antara kedua-dua negara.
The post Kepulangan Gusmao ke Timor-Leste disambut meriah, bendera Malaysia dikibarkan raih tumpuan appeared first on The Reporter.



