SHAH ALAM - Dua syarat utama perlu dipatuhi dalam urusan pertukaran wang kepada not baharu sempena Aidilfitri termasuk persamaan nilai dan serah terima secara serta-merta.
Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, sekiranya salah satu syarat tersebut tidak dipenuhi, maka ia boleh membawa kepada riba al-fadl iaitu pertambahan dalam pertukaran barang ribawi yang sama jenis.
Ujar beliau, umat Islam perlu memahami prinsip berkenaan supaya tradisi menukar duit raya dapat dilakukan seiring tuntutan syariah dan nilai keadilan dalam muamalat.
“Menukar wang kepada not baharu bagi tujuan duit raya adalah harus dalam Islam. Namun, pertukaran itu mesti dilakukan dengan nilai sama bagi mengelakkan unsur riba.
“Mengambil upah menukar wang juga dibenarkan sekiranya bayaran tersebut dibuat secara berasingan sebagai upah kerja dan bukan sebahagian pertukaran mata wang.
“Sebaliknya, mengambil keuntungan dengan mengurangkan nilai wang yang ditukar atau menjual not baharu dengan harga lebih tinggi daripada nilainya adalah tidak dibenarkan kerana melibatkan unsur riba yang diharamkan dalam syariat Islam,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, isu pengenaan caj bagi perkhidmatan menukar wang kepada not baharu sempena sambutan Aidilfitri menjadi perbincangan hangat di media sosial.
Perdebatan itu timbul susulan terdapat individu didakwa menawarkan perkhidmatan menukarkan wang baharu dengan mengenakan caj tambahan kepada pelanggan bagi menguruskan proses tersebut.
Mengulas lanjut, Mohd Sukki berkata, salah satu situasi yang berlaku dalam masyarakat ialah individu menawarkan perkhidmatan menukarkan wang kepada not baharu dengan mengenakan caj tertentu.
“Jika caj berkenaan diambil dengan cara memotong sebahagian daripada wang ditukar, contohnya seseorang berikan RM100 tetapi hanya terima RM93 selepas ditolak caj RM7, maka ia tidak dibenarkan.
“Dari sudut fiqh, keadaan ini sebenarnya melibatkan pertukaran wang dengan nilai tidak sama iaitu RM100 ditukar kepada RM93.
“Oleh itu, ia tidak memenuhi syarat persamaan nilai dalam pertukaran mata wang dan boleh termasuk dalam kategori riba al-fadl, diharamkan oleh syarak,” ujarnya.
Kata Mohd Sukki, mengambil upah bagi perkhidmatan menukar wang adalah dibenarkan sekiranya bayaran tersebut dibuat secara berasingan daripada transaksi pertukaran wang.
“Contohnya, individu gunakan wang sendiri untuk tukar kepada not baharu di bank, kemudian tawarkan kepada kenalan untuk menukarkan wang mereka kepada not baharu tersebut dengan mengenakan caj tertentu.
“Jika RM100 ditukar dengan RM100 dalam not baharu, manakala caj perkhidmatan dibayar secara berasingan, maka transaksi ini juga boleh dianggap sebagai harus.
“Hal ini kerana bayaran tersebut bukanlah keuntungan daripada pertukaran wang, tetapi sebagai bayaran kepada usaha dan masa yang digunakan untuk mendapatkan not baharu tersebut,” kata beliau.


