Elak terpedaya ejen hartanah palsu

Business & Finance
28 Sep 2026 • 7:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Elak terpedaya ejen hartanah palsu

PENGGUNA perlu lebih berhati-hati ketika berurusan dengan ejen hartanah bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan, terutama membabitkan bayaran deposit.

Pengerusi Jawatankuasa Amalan Agensi Hartanah (EAPC) Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Hartanah dan Pengurus Harta (LPEPH), Lim Boon Ping berkata, antara modus operandi yang semakin membimbangkan ialah penipu menyamar sebagai ejen hartanah berdaftar sebelum meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun bank peribadi.

Menurut beliau, penipu boleh menggunakan nama, gambar atau nombor pendaftaran ejen sebenar dalam iklan bagi meyakinkan mangsa.

“Mereka mungkin menggunakan nama dan nombor REN ejen yang sebenar, tetapi menggunakan nombor telefon mereka sendiri.

“Apabila pelanggan menghubungi nombor tersebut, mereka menyangka sedang bercakap dengan ejen sebenar, sedangkan sebenarnya mereka bercakap dengan penipu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semak dahulu REN seseorang ejen 

Boon Ping berkata, pengguna boleh meminta ejen menunjukkan tag Perunding Hartanah atau Real Estate Negotiator (REN) sebelum meneruskan urusan.

“REN Tag mempunyai kod QR yang boleh diimbas menggunakan telefon bimbit dan pengguna akan dibawa ke laman web LPEPH.

“Di situ pengguna boleh menyemak sama ada ejen tersebut masih aktif dan berdaftar, termasuk maklumat serta gambar ejen,” katanya.

Beliau berkata, pengguna juga perlu menyemak nombor telefon yang digunakan oleh ejen kerana setiap ejen boleh mendaftarkan sehingga tiga nombor telefon dengan LPEPH.

“Kalau nombor telefon yang digunakan tidak sama dengan nombor yang didaftarkan, itu adalah satu red flag dan pengguna perlu berhati-hati,” katanya.

Jangan bayar kepada akaun peribadi

Bagaimanapun, katanya, tanda amaran paling mudah untuk dikenal pasti ialah apabila individu berkenaan meminta deposit dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi.

“Pada saya, apabila seseorang meminta anda masukkan wang ke dalam akaun peribadi, itu adalah red flag paling mudah.

“Deposit hanya boleh dimasukkan ke dalam akaun pelanggan agensi (client account), bukan akaun peribadi ejen.

“Kalau diminta membayar ke akaun peribadi, pengguna perlu berhenti dan membuat semakan semula,” katanya.

Boleh semak keaslian REN secara manual

Menurutnya, pengguna yang tidak dapat melihat tag REN masih boleh membuat semakan secara manual melalui laman web LPEPH.

“Pergi ke laman web LPEPH dan gunakan fungsi carian ahli. Pengguna boleh mencari berdasarkan nama atau nombor REN untuk melihat sama ada individu tersebut merupakan ejen atau perunding hartanah yang sah.

“Jadi sebelum membuat sebarang bayaran atau menandatangani dokumen, pengguna perlu membuat semakan terlebih dahulu,” katanya.

Menurutnya, langkah mudah tersebut penting kerana penipu kini semakin bijak menggunakan iklan hartanah dan media sosial untuk menyamar sebagai ejen yang sah.

“Nasihat saya sangat mudah, jangan buat bayaran ke akaun peribadi. Pastikan wang hanya masuk ke akaun pelanggan agensi hartanah,” katanya. – UTUSAN

The post Elak terpedaya ejen hartanah palsu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved