
KAJANG – Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPEPH) semalam melancarkan Piawaian Pengurusan Harta Malaysia (MPMS) Edisi Ketiga dalam usaha memperkukuh profesionalisme, keseragaman dan kebertanggungjawaban dalam sektor pengurusan harta tanah negara.
Ia adalah kemas kini daripada dua edisi terdahulu bagi memenuhi keperluan sektor pengurusan harta yang terus berkembang, selain menyediakan rujukan lebih terkini kepada pengamal industri.
Antara penambahbaikan utama ialah pengenalan piawaian baharu berkaitan pengurusan strata dan pengurusan harta mampan, selain Kod Tatakelakuan dan Etika bagi Pengurus Harta.
Piawaian baharu itu dilihat penting dalam memastikan pengurusan bangunan dan harta tanah dilaksanakan secara lebih teratur, khususnya ketika sektor berkenaan menjadi semakin kompleks dengan melibatkan kepentingan pemilik, pelabur dan komuniti.
Presiden LPEPH, Datuk Abdul Razak Yusak berkata, profesion harta tanah yang kukuh dan diyakini menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi Malaysia secara lebih menyeluruh.

“Harta bukan sahaja merupakan aset penting bagi individu dan perniagaan, malah merupakan sebahagian daripada infrastruktur yang menjadi tempat komuniti serta aktiviti ekonomi berlangsung.
“Oleh itu, memastikan para profesional yang menyokong sektor ini mempunyai kompetensi, beretika dan bertanggungjawab adalah penting bagi melindungi kepentingan awam, menyokong keyakinan pelaburan serta mengekalkan kepercayaan terhadap pasaran harta tanah Malaysia,” katanya ketika menyempurnakan majlis pelancaran di sini.
Turut diadakan ialah Majlis Konvokesyen Profesional LPEPH, yang menyampaikan 100 Sijil Kebenaran untuk Beramal kepada Penilai, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta bagi tempoh 2025/2026.
LPEPH kini memiliki memiliki seramai 7,435 profesional harta tanah berdaftar yang aktif.-KOSMO! ONLINE
The post LPEPH lancar piawaian pengurusan harta baharu appeared first on Kosmo Online.

