Ratu Rock Negara, Ella Aminuddin, 60, merancang berehat selama setahun selepas konsert Majlis Tertinggi Rock Queen: Sidang Penutup pada 5 Disember ini, sekali gus memberi peluang kepada peminat menyaksikan persembahan berskala besar terakhirnya sebelum berehat panjang.

Ella berkata, tempoh itu akan dimanfaatkan untuk bercuti, merehatkan minda dan memberi tumpuan kepada perusahaan pertanian yang diusahakan bersama keluarga sejak hampir enam tahun lalu.
“Saya akan berehat panjang selepas konsert ini, mungkin selama setahun. Saya nak pergi bercuti dan merehatkan minda untuk menyegarkan diri.
“Selepas itu, barulah saya boleh kembali dengan keadaan yang lebih segar,” katanya ketika ditemui pada sidang media pengumuman konsert itu di The Saujana, pada Selasa.
Bagaimanapun, Ella berkata persembahan korporat akan diteruskan seperti biasa.
“Persembahan korporat tetap diteruskan seperti biasa. Dalam masa sama, saya nak fokus kepada bidang pertanian yang kami usahakan sejak hampir enam tahun lalu.”
“Sebelum ini, kami menanam cili dan bakal mencuba penanaman sawit pula,” katanya.
Minggu lalu, Ella mencetuskan keterujaan peminat apabila menyuarakan hasrat untuk mengadakan sebuah lagi konsert pada Disember ketika meraikan penerimaan Anugerah Sri Wirama AIM25.
Hasrat yang disampaikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, itu akhirnya menjadi kenyataan menerusi Sidang Penutup.
Ella, Yuna Dan Ziana Zain Satu Pentas
Bukan sekadar konsert penutup, Sidang Penutup turut menjanjikan pertemuan tiga penyanyi wanita daripada latar muzik dan generasi berbeza apabila Ella bakal berkongsi pentas dengan Yuna dan Datuk Ziana Zain.
Kehadiran Yuna dijangka memberikan warna tersendiri menerusi identiti muzik kontemporari yang membawanya ke persada antarabangsa.
Gabungan itu juga mempertemukan dua figura muzik wanita yang memiliki perjalanan seni berbeza, namun sama-sama berjaya membina nama dalam industri muzik.

Sementara itu, Datuk Ziana Zain kembali sebagai artis undangan selepas membuat penampilan menerusi Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi Permata Biru di Pulau Pinang.
Kemunculannya di Kuala Lumpur kali ini memberi peluang kepada peminat yang tidak berkesempatan menyaksikan persembahan terdahulu untuk menikmati gandingan mereka secara langsung.
Sepanjang tahun ini, siri Majlis Tertinggi Rockqueen berjaya mengumpulkan lebih 70,000 penonton menerusi tiga persembahan di Kuala Lumpur, Singapura dan Pulau Pinang.
Konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil sahaja menghimpunkan 55,000 peminat, diikuti lebih 5,000 penonton di Singapura dan 10,000 di Pulau Pinang.
Pencapaian itu membuktikan bahawa pengaruh Ella masih utuh, meskipun sudah lebih 40 tahun berada dalam industri muzik. Lagu-lagunya terus merentas generasi, sementara persembahan pentasnya kekal menjadi tarikan peminat.
Peminat Berpeluang Pilih Lagu
Menariknya, Sidang Penutup turut memperkenalkan konsep Audience Choice, yang membolehkan peminat terlibat dalam menentukan beberapa elemen persembahan, termasuk tema, senarai lagu dan kejutan yang bakal disajikan pada malam konsert.
Inisiatif itu memberi ruang kepada peminat untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan kreatif konsert, selain mengukuhkan hubungan istimewa antara Ella dengan mereka yang terus menyokong kerjaya seninya.
Bagi Ella, konsert berkenaan bukan sekadar menamatkan siri persembahan tahun ini, sebaliknya menjadi malam penghargaan buat semua yang telah bersama-sama menjayakan perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen.
“Setiap perjalanan pasti ada penghujungnya dan setiap cerita ada bab terakhirnya. Jadi, Ella mahu Sidang Penutup menjadi satu malam yang benar-benar istimewa untuk kita semua,” katanya.

Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup dijadualkan berlangsung pada 5 Disember 2026, Sabtu, di Unifi Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Tiket akan mula dijual pada 22 Oktober 2026 dengan harga bermula RM179 menerusi laman web rasmi www.hitmanlive.com. - Getaran, 21 Oktober 2026





