
Elon Musk menubuhkan xAI sebagai pesaing kepada OpenAI bagi menunjukkan beliau lebih hebat daripada syarikat yang diterajui oleh Sam Altman. Walaupun ratusan bilion telah dilaburkan bagi membangunkan Grok serta infrastruktur Dojo, Grok masih bukan kecerdasan buatan yang digunakan ramai. Minggu lalu dua lagi pengasas xAI, Guodong Zhang dan Zihang Dai telah meninggalkan syarikat.

Kini hanya tinggal dua daripada 13 pengasas xAI yang masih kekal di dalam syarikat. Zhang ialah ketua pasukan imaginasi xAI dengan beliau dilaporkan diturunkan pangkat oleh Musk kerana produk pengaturcaraan syarikat dilihat tidak kompetitif berbanding Claude oleh Anthropic dan Codex oleh OpenAI.
Beliau terus meletakkan jawatan pada Khamis lalu. Tempat mereka digantikan oleh Andrew Milich dan Jason Ginsberg yang sebelum ini bertugas dalam pasukan membangunkan AI pengaturcaraan di Cursor. Dalam jawapan di X, Musk berkata xAI tidak dibina dengan betul pada mulanya, jadi ia akan “dibina semula” seperti yang dilakukan oleh beliau di Tesla.
Sejak dari awal hala tuju xAI adalah kurang jelas. Syarikat AI lain membangunkan produk berbayar untuk produktiviti dan kreativiti tetapi Grok hanya dikenali sebagai AI yang menjana imej tidak senonoh (sehingga xAI disaman) dan mesin menyemak fakta di X.

