Aplikasi yang memasuki senarai disyorkan oleh App Store dan Play Store akan menerima muat turun yang lebih tinggi. Biasanya aplikasi disyorkan oleh pemilik stor berdasarkan saranan kakitangan dalaman dan trend muat turun.

Pagi ini Elon Musk mengeluh kerana X dan Grok tidak disenaraikan dalam senarai “Aplikasi Perlu” di App Store walaupun menurut beliau X ialah aplikasi nombor satu dalam kategori berita dab Grok pula di tangga ke lima dalam kategori keseluruhan.
Musk mendakwa seperti wujud layanan istimewa diberikan kepada aplikasi OpenAI berbanding yang berada di bawah payung xAI milik beliau. Tambah beliau lagi tindakan Apple menjadikannya mustahil untuk syarikat AI selain OpenAI untuk mencapai kedudukan pertama di App Store yang merupakan pelanggaran akta anti persaingan.
Tiada bukti dikongsi oleh Musk menunjukkan Apple memilih bulu dalam penyenaraian aplikasi dalam senarai “Aplikasi Perlu” di App Store. Di Malaysia hari ini, ChatGPT ialah aplikasi percuma di tangga teratas App Store sementara X di tangga ke-69 dan Grok pula di tangga ke-81.


