liza19/10/2026 - 09:53 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Okt – Elridge Energy Holdings Bhd dijangka memacu pertumbuhan perniagaannya menerusi peningkatan kapasiti pemprosesan tempurung isirung sawit (PKS) kepada 2.16 juta tan metrik menjelang tahun kewangan 2027, berbanding 1.44 juta tan metrik ketika ini.
Rakuten Trade Research berkata pengembangan itu akan meningkatkan keupayaan syarikat memenuhi permintaan serantau yang semakin meningkat terhadap bahan api biojisim, selain memperbaiki kecekapan mendapatkan bahan mentah, logistik dan keupayaan eksport.
Firma penyelidikan itu berkata kapasiti tambahan disokong pelaburan RM13 juta bagi empat barisan pengeluaran di Kuantan, yang dijangka menyumbang 480,000 tan metrik menjelang suku keempat tahun kewangan 2026 manakala kemudahan yang dicadangkan di Lahad Datu pula dijangka menambah 240,000 tan metrik pada tahun kewangan 2027.
Peningkatan kepada 2.16 juta tan metrik itu mewakili pertumbuhan kapasiti sebanyak 50% berbanding tahap semasa. Sebelum ini, kapasiti pemprosesan tahunan syarikat meningkat daripada 960,000 tan metrik kepada 1.44 juta tan metrik selepas kemudahan di Pasir Gudang dan Kuantan mula beroperasi pada separuh pertama tahun kewangan 2026.
Perluas pasaran eksport
Selain meningkatkan kapasiti pengeluaran, Rakuten berkata Elridge turut memperluas kehadirannya di pasaran serantau, khususnya Jepun dan Thailand, menerusi aturan pembekalan bahan api biojisim.
“Kerjasama dengan JFE Shoji Group dari Jepun merangkumi cadangan pembekalan 150,000 tan metrik tempurung isirung sawit yang diperakui setiap tahun untuk tempoh 15 tahun. Sementara itu, kerjasama dengan Berkana Power dari Thailand melibatkan kira-kira 100,000 tan metrik menerusi 10 penghantaran tahunan.
“Ini membuka peluang hubungan pembekalan jangka panjang, tertakluk kepada pelaksanaan komersial. Elridge turut meneroka peluang perniagaan di Indonesia, Arab Saudi dan rantau Teluk, disokong peningkatan kapasiti serta keupayaan membekalkan tempurung isirung sawit yang diperakui,” kata Rakuten dalam nota kajiannya.
Pelaburan RM45 juta dalam karbon teraktif
Satu lagi pemacu pertumbuhan ialah pelaburan RM45 juta Elridge dalam pengeluaran karbon teraktif, yang menandakan kemasukan syarikat ke dalam segmen produk hiliran bernilai lebih tinggi.
Syarikat merancang membangunkan enam rangkaian pengeluaran di Pulau Indah, Selangor, dengan jumlah kapasiti tahunan sebanyak 21,600 tan metrik. Fasa pertama berkapasiti 10,800 tan metrik disasarkan beroperasi pada separuh pertama tahun kewangan 2027, manakala baki kapasiti dijangka menyusul pada separuh kedua tahun sama, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.
Karbon teraktif digunakan dalam rawatan air, penulenan udara dan penapisan industri. Pengeluaran produk itu dijangka meluaskan asas pelanggan Elridge dan berpotensi meningkatkan kualiti pendapatannya.
Keuntungan teras dijangka meningkat
Rakuten mengunjurkan keuntungan teras Elridge meningkat kepada RM74.2 juta pada tahun kewangan 2026, RM91.4 juta pada 2027 dan RM104.9 juta pada 2028, berbanding RM57.3 juta pada 2025.
Firma penyelidikan itu memberikan saranan ‘Beli’ terhadap saham Elridge dengan harga sasaran RM1.28, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 28 kali berdasarkan anggaran pendapatan sesaham tahun kewangan 2027.
Penilaian itu sejajar dengan purata sejarah syarikat bagi tahun kewangan 2024 hingga tahun kewangan 2026 setakat ini, tetapi lebih rendah berbanding purata syarikat setara sebanyak 32 kali.
Menurut Rakuten, saranan berkenaan disokong potensi peningkatan margin keuntungan, prospek pendapatan yang semakin jelas dan pertumbuhan yang didorong pengembangan kapasiti.
Prospek jangka panjang syarikat turut disokong peralihan Malaysia kepada tenaga boleh baharu. Tenaga Nasional Bhd menyasarkan pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara yang menyasarkan kapasiti tenaga boleh baharu sebanyak 70% menjelang tahun berkenaan.
“Kami melihat potensi manfaat kepada Elridge sekiranya peluasan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat pada masa hadapan merangkumi tenaga biojisim yang mewujudkan permintaan tambahan terhadap produk bahan api syarikat,” katanya. - DagangNews.com




