liza07/10/2026 - 09:10 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Okt – Elridge Energy Holdings Berhad melabur RM45 juta untuk menceburi perniagaan pembuatan dan penjualan karbon teraktif bagi kegunaan rawatan air, penulenan udara dan gas serta penapisan industri.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Elridge Energy berkata pelaburan itu dibuat menerusi anak syarikat milik penuhnya, Lumeria Power Sdn Bhd bagi membangunkan enam rangkaian pengeluaran karbon teraktif di Klang, Selangor.
Kemudahan berkenaan dijangka mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 21,600 tan metrik setahun selepas kedua-dua fasa pembangunannya disiapkan pada separuh kedua tahun kewangan 2027 (FY2027).
Langkah itu merupakan pengembangan daripada perniagaan sedia ada kumpulan yang menggunakan tempurung isirung kelapa sawit (PKS) terutamanya sebagai bahan api biojisim.
Melalui perniagaan baharu itu, PKS akan diproses menjadi karbon teraktif, sekali gus membolehkan kumpulan bergerak lebih jauh dalam rantaian nilai PKS dan menghasilkan produk yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Elridge Energy Holdings Berhad, Oliver Yeo berkata langkah itu membolehkan kumpulan menggunakan bekalan PKS, kemudahan logistik serta hubungan industri sedia ada untuk membangunkan perniagaan baharu.
Beliau berkata, pelaburan RM45 juta itu akan dibiayai menggunakan dana yang dijana secara dalaman, manakala pengeluaran karbon teraktif dijangka meningkat secara berperingkat selepas operasi komersial bermula pada 2027.
Kapasiti 21,600 tan setahun
Pembangunan enam rangkaian pengeluaran itu akan dilakukan dalam dua fasa dengan fasa pertama melibatkan tiga rangkaian pengeluaran dengan kapasiti keseluruhan 10,800 tan metrik setahun dan dijangka memulakan pengeluaran komersial pada separuh pertama FY2027.
Tiga rangkaian pengeluaran lagi dijangka memulakan operasi pada separuh kedua FY2027 yang akan meningkatkan jumlah kapasiti reka bentuk kemudahan kepada 21,600 tan metrik setahun.
Pengeluaran dijangka meningkat secara berperingkat selepas operasi komersial bermula, tertakluk kepada kelulusan lesen, permit dan kelulusan berkaitan.
Fokus sektor rawatan air
Elridge Energy menyasarkan sektor rawatan air sebagai pasaran utama bagi karbon teraktif yang dihasilkan.
Kumpulan menyasarkan pengeluar industri, pengendali rawatan air dan kemudahan pemprosesan di Malaysia serta beberapa pasaran luar negara, termasuk China dan Jepun.
Karbon teraktif mempunyai struktur berliang yang membolehkannya memerangkap kekotoran, bahan kimia berbahaya dan bahan pencemar.
Selain rawatan air dan air sisa, produk itu turut digunakan dalam penulenan udara dan gas, penapisan industri serta pemprosesan makanan dan minuman.
Pasaran global dijangka cecah AS$15.71 bilion
Langkah Elridge Energy itu dibuat ketika pasaran karbon teraktif global dijangka terus berkembang susulan peningkatan permintaan bagi rawatan air, kawalan pencemaran industri dan pelbagai kegunaan penulenan.
Menurut The Business Research Company, pasaran karbon teraktif global dianggarkan meningkat daripada AS$8.07 bilion pada 2025 kepada AS$9.26 bilion pada 2026 sebelum mencecah AS$15.71 bilion menjelang 2030.
Pasaran itu dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) kira-kira 14.1% antara 2026 hingga 2030, dengan Asia Pasifik dikenal pasti sebagai pasaran serantau terbesar dan paling pesat berkembang pada 2025.
Elridge Energy berkata sumbangan sebenar perniagaan karbon teraktif kepada kumpulan bergantung kepada spesifikasi produk, campuran pelanggan, hasil pengeluaran, kos tenaga dan harga pasaran.
Pelaburan itu juga tidak dijangka memberi kesan material kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 kerana pengeluaran komersial hanya dijangka bermula pada FY2027.
Kumpulan menjangka perniagaan baharu itu mula menjana pendapatan selepas pengeluaran komersial bermula dan meningkat secara berperingkat.
Elridge Energy turut berkata pelaburan berkenaan tidak akan menjejaskan modal saham terbitan syarikat atau pegangan pemegang saham utama serta tidak memerlukan kelulusan pemegang saham. - DagangNews.com






