Elyana Tidak Lagi Berhijab, Enggan Jelaskan Apa-Apa Pada Netizen

Entertainment
10 Aug 2022 • 12:29 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Elyana - Gambar dari Instagram

Nampaknya teka-teki mengenai penyanyi Elyana yang dikatakan telah membuka tudung akhirnya terjawab apabila dia tampil dengan imej tidak bertudung di MAHA 2022  pada Rabu. 

Beberapa hari lalu, Elyana dilihat telah memuatnaik beberapa buah fotonya yang tidak berhijab di Instagram sekaligus mengundang spekulasi netizen.

Sewaktu diajukan soalan oleh pihak media, pelantun lagu Tak Tercapai Akalmu itu enggan mengulas lanjut mengenai isu ini kerana merasakan dia tidak perlu menjelaskan apa-apa terutamanya kepada netizen.

"Saya tidak perlu jelaskan apa-apa kerana mereka (netizen) tidak ingin penjelasan daripada saya. Selagi saya jelaskan, selagi itulah macam-macam cerita yang tidak masuk akal akan timbul. 

“Demi menjaga jiwa saya, saya mengambil keputusan untuk tidak mahu menerangkan apa-apa," katanya ketika disoal pihak media. 

Menurut Elyana, sebelum ini dia banyak menjaga hati orang lain dan kini tiba masanya untuk dia lakukan mengikut kehendak hatinya. 

“Setiap hari saya impikan kehidupan yang baik untuk jiwa saya. Dulu saya sangat mementingkan jiwa, hati dan fikiran orang. Tapi saya selalu terlupa akan diri saya. 

“Jadi sekarang ini saya akan buat apa yang saya terfikir nak buat. Baik buruknya Insya Allah saya sendiri yang akan tanggung. 

“Dan inilah saya. Jika anda boleh menerima saya Alhamdulillah, jika anda tak boleh terima saya tak boleh buat apa-apa," katanya. 

Terdahulu Elyana disahkan bebas dari penyakit kanser limfoma pada Disember tahun lalu selepas hampir 11 tahun menderita melawan sakit. - Getaran , 10 Ogos 2022.