Emas berpotensi kembali catat paras tertinggi dalam tempoh setahun

Business & Finance
18 Aug 2026 • 8:10 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Emas berpotensi kembali catat paras tertinggi dalam tempoh setahun

PETALING JAYA: Harga emas berpotensi kembali mencatat paras tertinggi dalam tempoh setahun akan datang, disokong jangkaan penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS), ketidaktentuan geopolitik serta permintaan berterusan daripada bank pusat dan pelabur.

Semalam, harga emas meneruskan aliran pertumbuhan, didagangan sekitar AS$4,400 seauns (RM575.51 segram).

Sehingga lewat petang semalam, Kontrak Berterusan Emas diniagakan tinggi AS$18.5 (RM75.06) kepada AS$4,455.80 seauns (RM581.24 segram), berbanding AS$4,437.30 seauns (RM580.33 segram) pada sesi dagangan akhir Jumaat lalu.

Emas yang mencapai peningkatan 10.96 peratus dalam tempoh sebulan ini telah mencatatkan paras tertinggi sepanjang masa sebanyak AS$5,594 seauns (RM727.58) pada Januari lalu.

Peniaga emas dan Pengarah Urusan Merchant Nine Sdn. Bhd., Nik Mohd Haniff Nik Hamid berkata, emas mempunyai faktor sokongan untuk kekal pada paras tinggi dalam masa terdekat dan berpotensi meningkat lagi serta mencapai paras tertinggi sebelumnya dalam tempoh setahun lagi.

Walau bagaimanapun, jelasnya, kenaikan harga emas tidak berlaku secara lurus. Selepas kenaikan yang kuat, pembetulan harga adalah sesuatu yang normal.

“Antara faktor yang boleh menyebabkan pembetulan ialah dolar AS kembali mengukuh, perubahan jangkaan kadar faedah, inflasi yang kembali meningkat dengan ketara, keadaan geopolitik yang semakin stabil ataupun aktiviti pengambilan keuntungan oleh pelabur.

“Jadi walaupun prospek jangka panjang masih mempunyai sokongan, pelabur perlu bersedia dengan ketidaktentuan dalam jangka pendek,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, pertumbuhan harga emas ketika ini didorong oleh gabungan jangkaan perubahan dasar monetari AS, kelemahan dolar, ketegangan geopolitik serta permintaan struktur daripada bank pusat dan pelabur.

Menurutnya, trend emas masih mempunyai asas yang positif, tetapi kenaikan yang begitu pantas bermakna risiko pembetulan juga semakin meningkat.

“Oleh itu, emas masih wajar menjadi sebahagian daripada portfolio sebagai instrumen perlindungan nilai dan diversifikasi, tetapi pelabur tidak seharusnya mengejar harga.

“Bagi Malaysia, kenaikan emas memberi manfaat kepada isi rumah yang telah memiliki emas, tetapi pada masa yang sama menunjukkan kepentingan mempelbagaikan simpanan daripada hanya bergantung kepada ringgit dan aset domestik,” jelasnya.

Beliau berkata, pembelian emas oleh bank pusat dilihat lebih penting dalam menjelaskan trend jangka panjang harga emas.

“Berdasarkan laporan Gold Demand Trends, jumlah permintaan emas global pada separuh pertama 2026 mencapai 2,522 tan, meningkat dua peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala nilai permintaan mencatat rekod.

“Pembelian bank pusat kekal sebagai salah satu asas penting pasaran emas dan menunjukkan bahawa permintaan terhadap emas bukan semata-mata didorong oleh faktor jangka pendek,” katanya.

Tambahnya, gabungan perubahan jangkaan terhadap dasar Fed, ketidaktentuan geopolitik dan permintaan struktur daripada bank pusat menjadikan asas pasaran emas kekal kukuh ketika ini. – UTUSAN

The post Emas berpotensi kembali catat paras tertinggi dalam tempoh setahun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved