amree18/08/2026 - 09:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Ogos — Inflasi Malaysia berdepan risiko kembali melepasi paras 2% dalam beberapa bulan berikutan kenaikan kos di peringkat pengeluar mula memberi tekanan, menurut TA Securities.
Selain itu firma tersebut menambah, harga minyak mentah yang kembali menghampiri AS$90 (RM365) setong turut memberi kesan meskipun inflasi keseluruhan negara terkawal 1.8% pada Julai 2026.
Jelasnya, peningkatan tekanan harga bagi komponen makanan serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain menunjukkan gambaran inflasi asas tidak sebaik yang dicerminkan oleh angka utama.
"Indeks Harga Pengguna (IHP) Julai turun sedikit daripada 1.9% YoY pada Jun 2026, manakala inflasi teras turut sederhana kepada 1.8% YoY daripada 1.9% sebelumnya," jelas TA Securities dalam nota.
Menurutnya, tekanan harga makanan dan minuman dengan wajaran terbesar dalam bakul IHP, meningkat kepada 1.8% pada Julai berbanding 1.4% pada Jun, didorong kenaikan harga makanan di luar rumah.
Inflasi komponen perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain turut meningkat kepada 1.8% daripada 1.4% pada Jun, disebabkan kenaikan bekalan utiliti dan perkhidmatan berkaitan kediaman.

TA Securities berkata pelaksanaan mekanisme BUDI Diesel mulai 1 Julai 2026, turut membantu pemilik kenderaan persendirian mengurangkan kesan harga bahan api pasaran semasa terhadap isi rumah.
"Kami namun melihat jurang semakin ketara antara harga pengeluar dan pengguna apabila Indeks Harga Pengeluar (PPI) naik kepada 9.2% pada Jun daripada 7.8% pada Mei dan 5.4% pada April," katanya.
Ketiadaan peningkatan setara dalam IHP menunjukkan syarikat masih menyerap sebahagian kenaikan kos input, berkemungkinan akibat persaingan, stok sedia ada dan sokongan kerajaan.
Bagaimanapun ujar TA Securities, sekiranya tekanan kos pengeluar berterusan, keupayaan perniagaan menyerap kos tersebut boleh berkurangan dan meningkatkan risiko pemindahan kos kepada pengguna.
Pada masa sama jelas firma tersebut, kenaikan semula harga minyak mentah Brent susulan ketegangan geopolitik dan kebimbangan bekalan menjadi risiko utama kepada situasi inflasi di Malaysia.
"Kesannya bukan sahaja terhadap pengangkutan, malahan dikhuatiri boleh merebak lebih luas kepada kos logistik, pengeluaran, makanan, restoran serta perbelanjaan berkaitan isi rumah," katanya.
Justeru, TA Securities mengekalkan unjuran inflasi keseluruhan Malaysia bagi 2026 pada 2.1%, dengan jangkaan tekanan harga meningkat pada separuh kedua tahun ini. - DagangNews.com






