Emas Gagal Pertahan Paras $4,200 Walaupun PMI AS Lemah

Business & Finance
7 Jul 2026 • 9:30 AM MYT
Intraday
Intraday

Media Pasaran Kewangan No.1 dalam Bahasa Malaysia

Emas Gagal Pertahan Paras $4,200 Walaupun PMI AS Lemah

Harga emas susut sekitar 0.50% pada hari Isnin apabila dolar AS kekal stabil. Penurunan itu berlaku walaupun pasaran semakin yakin Rizab Persekutuan (Fed) akan mengambil pendirian yang kurang agresif selepas laporan pekerjaan AS minggu lalu menunjukkan kelemahan yang lebih ketara daripada jangkaan.

Pada jam 9 pagi harga emas didagangkan pada paras $4,140 iaitu susut 0.60% sejak ia dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.

Di Amerika Syarikat, aktiviti sektor perkhidmatan berkembang pada kadar yang lebih perlahan apabila PMI Perkhidmatan ISM turun kepada 54.0 daripada 54.5. Walaupun indeks pekerjaan menunjukkan peningkatan, komponen harga pula terus perlahan, mencerminkan tekanan inflasi yang semakin reda.

Data ini mengukuhkan lagi sentimen selepas laporan Non-Farm Payroll (NFP) Jun yang lebih lemah daripada jangkaan, selain semakan menurun bagi data April dan Mei. Perkembangan itu meningkatkan jangkaan bahawa Fed tidak perlu menaikkan kadar faedah dalam masa terdekat.

Pasaran kini menjangkakan Fed akan mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat Julai dengan kebarangkalian sekitar 77%. Bagi mesyuarat Disember pula, jangkaan terhadap kenaikan kadar semakin berkurangan apabila pedagang terus mengurangkan pertaruhan terhadap dasar monetari yang lebih ketat.

Dalam masa sama, Indeks Dolar AS (DXY) meningkat sedikit kepada 100.90, manakala hasil bon Perbendaharaan AS 10 tahun kekal stabil pada 4.451%. Pengukuhan dolar terus mengehadkan kenaikan harga emas kerana logam berharga itu menjadi lebih mahal kepada pemegang mata wang lain.

Faktor geopolitik pula kurang mendapat perhatian pasaran walaupun rundingan pusingan kedua antara Amerika Syarikat dan Iran dijadualkan berlangsung hujung minggu ini.

Tumpuan pelabur kini beralih kepada minit mesyuarat Fed, data tuntutan pengangguran mingguan serta laporan Indeks Harga Pengguna (CPI) AS yang bakal menjadi petunjuk penting kepada hala tuju dasar monetari Fed.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved