Emas Kekal Pada Posisi Tinggi, Situasi Selat Hormuz Masih Kabur

Business & Finance
10 Aug 2026 • 9:40 AM MYT
Intraday
Intraday

Media Pasaran Kewangan No.1 dalam Bahasa Malaysia

Emas Kekal Pada Posisi Tinggi, Situasi Selat Hormuz Masih Kabur

XAU/USD kekal berada pada paras tinggi selepas melonjak lebih 7% sepanjang minggu lalu apabila rentaknya disokong oleh jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) mempunyai ruang untuk melonggarkan dasar monetari selepas laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) menunjukkan kelemahan pasaran buruh.

Pada jam 9.30 pagi, harga emas didagangkan pada paras $4,322 iaitu rendah 0.44% sejak ia dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.

Emas Disokong Jangkaan Penurunan Kadar Fed

Laporan pekerjaan AS yang lebih lemah daripada jangkaan telah mengurangkan kebimbangan terhadap kemungkinan Fed menaikkan kadar faedah dalam masa terdekat. Keadaan itu turut membantu menurunkan hasil bon Perbendaharaan AS dan memberi sokongan kepada emas yang tidak menawarkan pulangan faedah.

Pasaran kini semakin menumpukan perhatian kepada data inflasi AS yang akan diterbitkan pada Rabu. Data Indeks Harga Pengguna (CPI) dijangka menjadi petunjuk penting terhadap hala tuju dasar monetari Fed, khususnya selepas jangkaan kenaikan kadar September semakin berkurangan.

Selat Hormuz Kekal Jadi Risiko Utama

Dalam masa sama, perkembangan di Selat Hormuz masih menjadi pemacu penting kepada pergerakan emas dan pasaran komoditi.

Iran dilaporkan hampir mencapai persetujuan dengan Oman bagi menentukan laluan baharu untuk kapal melalui Selat Hormuz, namun Tehran masih menegaskan laluan air itu belum akan dibuka sepenuhnya selagi beberapa syarat berkaitan AS belum dipenuhi.

Ketidakpastian tersebut menyebabkan aktiviti perkapalan melalui Selat Hormuz kekal pada tahap rendah dan terus mengekalkan risiko gangguan bekalan tenaga global. Harga minyak Brent turut meningkat sekitar 0.9% kepada $84.32 setong, manakala WTI naik 0.7% kepada $78.74 pada awal dagangan Isnin.

Emas Berpotensi Kekal Volatil

Gabungan jangkaan penurunan kadar Fed dan ketidakpastian geopolitik memberi sokongan kepada harga emas untuk kekal pada paras tinggi.

Namun, peningkatan harga minyak akibat risiko Selat Hormuz berpotensi menghidupkan semula tekanan inflasi dan mengehadkan ruang Fed untuk melonggarkan dasar monetari.

Pasaran kini bakal menilai dua pemangkin utama, iaitu perkembangan terkini rundingan Selat Hormuz dan data inflasi AS pada Rabu. Sebarang perubahan besar terhadap kedua-dua faktor tersebut berpotensi mencetuskan pergerakan ketara terhadap XAU/USD dalam tempoh terdekat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved